Friday 12 August 2011

Aqidah Islamiyyah- Beriman Kepada Allah

1.0              PENDAHULUAN
1.1 Lafaz Allah
Lafaz Allah adalah nama Allah yang paling Agung dan mencakupi nama – nama Allah yang lainnya, sehingga sebahagian ulama berkata, “ Sesungguhnya lafaz Allah adalah nama Allah yang paling agung dan paling mencakupi nama – nama Allah yang lainnya dan tidak ada seorang pun selain Dia dinamakan dengan nama ini. Oleh demikian, lafaz Allah tidak dijadikan tasyniyah dan tidak pula dijadikan jamak. Lafaz Allah merupakan salah satu dari dua penakwilan terhadap firman Allah Ta’ala, iaitu  yang bermaksud ,“ Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia ( yang patut disembah ) ? ( Qs. Maryam 19 : 65 ). Yakni Dzat yang dinamai dengan nama – Nya iaitu nama Allah.
Lantaran itu, lafaz Allah adalah nama bagi Al Maujud [ Yang Maha Ada ], Yang Haq, yang menghimpun seluruh sifat – sifat Ilahiyah [ Ketuhanan ], yang disifati dengan sifat – sifat  Rububiyah [ Pemeliharaan ], yang sendiri dalam wujud yang hakiki, yang tidak ada Tuhan yang Haq selain Dia. Menurut pendapat lain, makna dari lafaz Samiyya  ( nama ) yang ada dalam firman Allah tersebut adalah Dzat yang berhak untuk disembah. Menurut pendapat yang lain,maksudnya adalah Dzat yang wajib adanya , yang sentiasa ada dan tidak pernah tiada.[1]
1.2  Ta’rif  Iman
            Ahli sunnah wal jamaah sepakat menyatakan Iman ialah membenarkan dengan hati , beramal dengan anggota badan dan berkata dengan lidah ( mengakui dengan lidah ). Menurut Imam Syafei rahimahullahi Taala menyatakan di dalam kitabnya Al –Umm bahawa para sahabat dan tabi’in telah ijma’ mengatakan : “ Sesungguhnya iman itu ialah perkataan ( membenarkan dengan lidah ), dan perbuatan ( mengerjakan  dengan anggota badan , dan niat ( membenarkan ) dengan hati. Dan tidak memadai satu daripada tiga perkara yang lain.Menurut Ahli Sunnah Waljamaah, sesiapa yang mengikrarkan dengan lidah dan mengucap dua kalimah syahadah bererti mereka telah melaksanakan hukum di dunia ini, dan seterusnya dituntut melakukan perkara – perkara yang wajib dikerjakan oleh orang – orang yang beriman. Mereka diberikan haknya selaku orang yang beriman dengan kenikmatan syurga dan tidak kekal di dalam neraka serta tidak dihukumkan sebagai kafir, melainkan jika mereka membatalkan keimanan mereka melalui pengakuan lidah dan amalan perbuatan mereka.[2]

1.3  Makna kalimah tauhid
Kalimah tauhid ‘La ilaha illallah’ bermaksud tiada Tuhan selain Allah. Sungguhpun ringkas, namun kalimah ini mempunyai pengertian yang luas dan mendalam bagi kehidupan seorang muslim. Kalimah ini sebenarnya bererti ‘aku mengetahui, berikrar, mengakui dan mempercayai bahawa sesungguhnya sembahan yang benar dan berhak disembah ialah Allah SWT sahaja manakala selain daripada-Nya sama sekali tidak benar dan tidak berhak disembah. Aku berikrar dengan hatiku, menyatakan dengan lidahku dan aku membuktikan dengan perbuatanku.’
1.4  Awal Agama Mengenal Allah
Firman Allah , dalam hadith Qudsi:                                                                    
“ Aku adalah ‘ kanzan Makhfiyyan ’ ( yang terpendam dan tertutup ). Aku ingin ditemukan dan dikenali. Kuciptakan Makhluk agar mereka mengenalku.
            Awal agama ialah mengenal Allah , sementara awal mengenal Allah adalah mengenal diri  ( arifbillah ); “ Barangsiapa yang mengenal dirinya, maka mengenal ia akan Tuhannya. Siapa yang mengenal Allah, maka binasalah ( fana ) dirinya.”
Firman Allah ; “ Dan ( juga ) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan ?”
                                                                                                                ( Qs Adz – Dzariyat : 21 )  Firman Allah di atas adalah sebagai anak kunci kepada  satu pintu rahsia dalam rahsia. Hanya Allah wajibal wujud dan Dia wujud pada DzatNya. Berbanding dengan wujud makhluk yang wujud bukan pada dzatnya tetapi wujud kerana diwujudkan oleh Dzat yang Maha Wujud iaitu Allah s.w.t. Setiap makhluk yang diwujudkan oleh Allah adalah untuk menzahirkan sifat keagungan dan kebesaranNya. Sekalian makhluk termasuk manusia adalah menunjukkan ayat – ayat Allah untuk menggambarkan DiriNya yang bersifat Maha Sempurna .
            Hakikat sebenar yang wujud tanpa berhajat kepada wujud yang lain adalah Allah. Wujud sekalian makhluk dan alam adalah dalam keadaan yang sentiasa berhajat kepada wujud Allah , ia wujud mumkinat , antara harus ada dan tiada. Wujud makhluk diibaratkan seperti bayang – bayang, ia tiada wujud dengan dirinya sendiri. Apabila tiada tuan punya bayang – bayang , maka bayang – bayang tidak akan wujud. Namun, tuan punya bayang – bayang tetap akan wujud walaupun tiada bayang. Segala ciptaan Allah adalah bayang atau bekas bagi menunjukkan kewujudanNya , sifatNya, Asma’Nya dan Af’ alNya. Maka, tiada berpisah segala ciptaanNya dengan diriNya dan tidak pula bersatu denganNya.
            Dengan adanya sifat Allah, manusia dapat melihat, mendengar, berkata – kata, berfikir, hidup dan berkehendak. Manakala Af’al Allah iaitu Allah telah perzahirkan segala ilmu dan kehendaknya untuk menunjukkan sifatNya bagi makhluk tentang diriNya.Oleh yang demikian, segala perjalanan dan segala sistem yang mengatur alam ini ( asbab dan musabab), berlaku taqdir baik dan buruk sama ada pada langit dan bumi, zahir atau ghaib,  sebenarnya berada di dalam Qabdah , iaitu genggaman Ar – Rahman. Seluruhnya bergerak atas kalimah ‘ Bismillahirrahmanirrahim’.
            Selain itu, Imam al – Sirhindi telah menjelaskan dengan ulasan yang panjang di dalam Al-Maktubat 1 : 266 ).Beliau berkata :
“ Dan begitu juga dengan Perbuatan Ilahi adalah Esa dan seluruh ciptaan terjadi dengan perbuatan yang Esa ini dan firman Allah s.w.t yang bermaksud : “ Dan perintah Kami     ( dalam melaksanakan apa yang Kami kehendaki ), hanyalah sekali sahaja , bagi sekelip mata ( Qs. Al Qamar : 50 )” mengisyaratkannya. Menghidupkan dan mematikan , menyakitkan dan memberi ni’mat, begitu juga menjadikan dan meniadakan muncul dari perbuatan yang satu ini. Maka tiadalah keterbilangan Ta’alluq Perbuatan-Nya, bahkan setiap makhluk dahulu dan akan datang wujud pada waktu – waktunya yang khusus dangan Ta’alluq yang satu. Dan Ta’alluq ini pun tidak diketahui caranya dan perumpamaannya sebagaimana Perbuatan Ilahi itu sendiri. .. Lantaran Al- Ash’ari tidak melihat hakikat perbuatan Ilahi yang Maha Agung Kekuasaan-Nya berpendapat bahawa sifat Takwin adalah baharu dan baharunya Perbuatan –Perbuatan Ilahi sedangkan dia tidak menyedari bahawa sesungguhnya kejadian – kejadian alam ini adalah kesan perbuatan Ilahi yang azali dan bukan perbuatan itu sendiri . Termasuk juga di sini sebahagian sufi yang mengithbatkan  ( alam mumkin sebagai ) tajalli al af’al  ( perbuatan – perbuatan Ilahi ) kerana mereka tidak menyaksikan pada cermin perbuatan makhluk yang mumkin selain dari perbuatan Pelaku Hakiki Yang Maha Agung kekuasaan-Nya, sedangkan Tajalli itu sebenarnya adalah tajalli kesan- kesan Perbuatan Allah s.w.t bukannya tajalli Perbuatan-Nya s.w.t., kerana sesungguhnya , Perbuatan Ilahi Yang Maha Suci dari perumpamaan dan cara serta qadim dan berdiri dengan Zat-Nya s.w.t. yang disebut sebagai Takwin tidak dapat diliputi oleh ‘cermin – cermin’ makhluk yang baharu dan tiada kenyataan baginya pada wadah – wadah penzahiran alam mumkin.” 
2.0       PEMBAHAGIAN  TAUHID
Beriman kepada Allah azza wajalla ialah beri’tikad dengan yakin di dalam hati bahawa Allah ialah “ Rabb ” yang memiliki dan mencipta segala – galanya yang begitu indah dan menabjubkan diibadatkan dengan ikhlas seperti melakukan solat, puasa, doa, mengharap rahmatNya, takut kepada AzabNya, menyerah diri kepadaNya dan Dialah Tuhan yang bersifat dengan segala sifat sempurna serta suci dari segala kelemahan. Beriman kepada Allah mengandungi tiga bahagian tauhid, iaitu tauhid Rububiyah , tauhid Uluhiyah serta tauhid Asma’ dan sifat.
Menurut  Ustaz Abu Karimah Askari  pada awalnya tauhid di bahagi menjadi 2 bahagian, iaitu Tauhid Al Ma’rifat wal Itsbat (Pengenalan dan Penetapan) yang terdiri daripada  2 tauhid iaitu:
  • Tauhid Rububiyah iaitu mengenal Allah melalui perbuatan-Nya.
  • Tauhid Asma wa Sifat iaitu mengenal Allah melalui nama dan sifat-Nya.
Tauhid Al Irodi Ath Tholabi ialah tauhid yang diinginkan dan dituntut, disebut juga tauhid uluhiyah.Ianya terjadi penyimpangan keyakinan di dalam nama dan sifat Allah, maka Tauhid Asma wa Sifat disebutkan secara khusus sehingga Tauhid dibahagi kepada 3 bahagian iaitu ; Tauhid Rububiyyah, tauhid Uluhiyyah dan juga tauhid Asma’ wa sifat.
2.1 Tauhid Rububiyyah

Mentauhidkan Allah dalam perbuatan-Nya, seperti mencipta, menguasai, memberikan rezeki, mengurusi makhluk, dan lain-lain lagi yang semuanya hanya Allah sahaja yang mampu mengadakannya dan semua orang meyakini adanya Rabb yang menciptakan, menguasai dan sebagainya melainkan orang atheis yang berkeyakinan tidak adanya Rabb. Antara pengertian kalimah Rabb ialah as-Sayyid (Tuan), al-Malik (Yang Memiliki sesuatu), Pencipta sesuatu, Penguasa terhadap sesuatu, Pendidik serta Pengasuh makhluk-Nya, Penjaga maslahat makhluk-Nya serta Penguatkuasa perintah-Nya terhadap makhluk-Nya.
Oleh itu, Tauhid ar-Rububiyyah ialah ‘iktiqad atau keyakinan bahawa Allah SWT mempunyai sifat yang sempurna. Segala sesuatu yang ada di alam ini adalah kepunyaan Allah SWT. Dialah Rabb al-’Alamin (Rabb sekalian alam). Dialah yang berkuasa, menjadikan, menghidup dan mematikan. Dia berkuasa memberikan manfaat dan mudarat. Jika Allah mahu memberikan manfaat dan kelebihan kepada seseorang, maka tiada siapa mampu menghalang atau menolaknya. Jika Allah mahu memberikan mudarat dan keburukan kepada seseorang seperti sakit dan susah, maka tiada siapa dapat menghalang atau mencegahnya. Oleh itu, hanya Allah sahaja ‘mutafarriq’ (berkuasa) untuk memberikan manfaat atau mudarat.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”                        (Qs. Al-An’am: 17)
Dengan itu, semua makhluk bergantung kepada-Nya, memerlukan pertolongan-Nya serta berharap kepada-Nya. Setiap sesuatu yang dimiliki makhluk hanya bersifat sementara dan pinjaman. Oleh itu, jika manusia bersifat seperti memiliki dan berkuasa, maka sifat itu hanya sementara kerana segala sesuatu di alam ini adalah kepunyaan Allah. Begitu juga dengan kecerdikan, kebijaksanaan dan kepandaian yang dimiliki manusia, semuanya datang daripada Allah. Segala kekayaan dan penguasaan manusia sebenarnya bukanlah miliknya yang mutlak tetapi datang daripada Allah .
 Ini kerana hakikat sebenarnya ialah manusia dijadikan hanya sebagai makhluk. Dia tidak memiliki apa-apa melainkan setiap kuasa, tindak-tanduk serta gerak nafasnya datang daripada Allah. Dengan keyakinan itu, maka timbullah kesan tauhid dalam diri seorang muslim. Dia hanya takut kepada Allah dan berani untuk bertindak melakukan sesuatu juga kerana keyakinannya kepada Allah. Kesan keyakinan sedemikian terbukti dalam kehidupan Rasulullah s.a.w dan sahabatnya. Sebelum keluar berhijrah ke Madinah, Rasulullah s.a.w memerintahkan Saidina Ali r.a tidur di atas katilnya sedangkan ketika itu musuh Islam sedang mengintip untuk membunuh Rasulullah s.a.w. Bagaimanapun, Saidina Ali r.a sanggup mengikut perintah Rasulullah s.a.w kerana amat yakin dengan kehendak dan kekuasaan Allah.
Keyakinan yang sama juga pernah berlaku dan dapat dilihat pada Khalid al-Walid r.a. Beliau pernah mendapat luka yang banyak kerana berperang di jalan Allah. Namun keyakinannya dengan kekuasaan Allah menyebabkan dia meneruskan pertempuran melawan musuh. Saidina Bilal bin Rabah r.a pula sanggup diheret di padang pasir, dijemur di bawah matahari yang terik serta diseksa dengan batu besar diletakkan di atas tubuhnya. Bagaimanapun dia tetap mempertahankan keimanannya.

2.2 Tauhid Uluhiyah

Mentauhidkan Allah dalam perbuatan-perbuatan yang dilakukan oleh hamba seperti mengikhlaskan ibadah kepada Allah, yang mencakupi berbagai macam ibadah termasuklah tawakal, nadzar, takut, khosyah dan pengharapan. Tauhid inilah yang membezakan umat Islam dengan kaum musyrikin. Dengan demikian, seseorang belum cukup untuk mentauhidkan Allah dalam perbuatan-Nya (Tauhid Rububiyah) tanpa menyertainya dengan mengikhlaskan semua ibadah hanya kepada-Nya (Tauhid Uluhiyah). Bahkan orang musyrikin dulu juga meyakini bahwa Allah yang mencipta dan mengatur alam, tetapi hal tersebut belum cukup memasukkan mereka ke dalam Islam.Tauhid al-Uluhiyah bermaksud mentauhidkan Allah dalam peribadatan atau persembahan. Inilah tujuan Allah SWT mengutuskan rasul iaitu menyeru manusia menerima Tauhid al-Uluhiyah. Firman Allah SWT yang berikut membuktikan kenyataan ini.
“Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawasa-nya tiada tuhan melainkan Aku, maka kamu sekalian hendaklah menyembah Aku.”                                                                                        ( Qs.Al-Anbiya’: 25)
“Dan sesungguhnya Kami telah utuskan pada setiap umat itu seorang rasul (untuk menyeru): Sembahlah Allah dan jauhilah taghut.”                                                            (Qs An-Nahl: 36)
            Makna beriman dengan ketiga – tiga bahagian tauhid itu ialah mengi’tiqadkan keesaan Allah Taala pada Rububiyyah, Uluhiyyah dan sifat – sifatNya yang sempurna serta nama – namanya yang mulia.Seorang hamba tidak menjadi mukmin sehingga ia i’tiqad bahawa Allah  adalah tuannya, pembela dan pemimpin bagi segala sesuatu bukan yang lain. Dialah Tuhan yang berhak disembah, bukan selainNya.Dialah Tuhan yang Maha sempurna pada sifat dan pada namaNya. Tidak ada sesuatu pun yang sempurna melainkan Allah.
2.3 Beriman dengan Kewujudan Allah
            Iman adalah suatu ikatan yang tersimpul kuat dan kukuh di dalam hati seorang manusia yang menjadi tali penghubung antara Khaliq dan makhluk. Keimanan yang sebenarnya ialah suatu luahan hati yang lahir dari ketulusan sanubari seorang insan terhadap Tuhannya serta kesediaannya untuk mencintai Rabbnya melebihi kecintaannya kepada makhluk lain.Mereka yang beriman dengan kewujudan Allah ialah mereka yang mengiktiqadkan Allah dengan suatu iktikad yang jazam ( pasti ) di atas beberapa hal termasuklah;
a.       Mengiktikadkan bahawa Allah Taala sahaja yang menjadikan alam ini berserta seisinya dan beriktikad bahawa Allah mengurus mentadbir segala sistem alam ini dengan seimbang dan bijaksana.  ( Dalil Al –Qur’an dalam surah al – A’raaf :54 )
b.      Mengiktikadkan bahawa Allah s.w.t. adalah berhak dipuji dan Dialah yang paling berhak menerima segala pujian daripada orang – orang beriman. Firman Allah Taala, Ertinya : “ Segala puji tertentu bagi Allah , Tuhan yang memelihara dan mentadbir seluruh alam ”                                                                        
                                                                                                      ( Qs. Al –Fatihah : 2 )
c.       Mengiktikad bahawa petunjuk Allah adalah sebenar – benar  petunjuk dan hidayah. Orang – orang beriman wajib bertawakkal kepada Allah serta melaksanakan segala perintahNya.Firman Allah Taala, ertinya : “Katakanlah : Wahai Muhammad ! Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar – benar petunjuk , dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbir alam.”                   ( Surah al – An’am : 71 )
d.      Mengiktikad bahawa semua ibadat yang dilakukan adalah ikhlas kerana Allah sebagai tanda pengabdian diri kepadaNya untuk mencapai keredhaan dan kasih sayangNya.Firman Allah , Ertinya : “ Katakanlah: wahai Muhammad ! Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah , Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”
                                                                                     ( Qs. al – An’aam : 162 )
e.       Mengiktikad bahawa Allah Taala yang memberi pertolongan kepada semua makhluk di alam ini dalam semua perkara dan tidak ada yang lain, melainkan Allah. Mengakui bahawa tidak ada sesiapa yang boleh memberi pertolongan tanpa izinNya.
 ( Dalil Al – Qur’an dalam Surah al – An’aam : 14  & Al – Baqarah 255 )
f.       Mengiktikadkan bahawa setiap orang yang beriman hendaklah berdoa dan memohon sesuatu hajat hanya kepada Allah Taala sahaja, tidak kepada yang lain daripadaNya. Sesuai dengan firman Allah yang menghendaki supaya hamba – hambaNya sentiasa memohon sesuatu daripadaNya, kerana Dia pasti akan mengkabulkan doa daripada hamba – hambaNya . Firmannya bermaksud: “ Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan ( dengan suara ) perlahan – perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas.”                                                                         ( Qs. al – A’raaf : 55 )
g.      Mengiktikadkan bahawa Allah yang mencipta manusia , mengetahui perkara – perkara yang tersembunyi dalam hati manusia , dan sebaliknya manusia tidak dapat berselindung dari Allah. Firman Allah, ertinya: “ Dan demi sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia, dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang pengetahuan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. ”                                          ( Qs. Qaf : 16 )
h.      Mengiktikadkan bahawa Allah mengutus seorang Rasul kepada setiap umat dengan tujuan mengajak dan menyeru sekalian manusia menyembah Allah, bukan selain dariNya.                                        ( Dalil Al –Qur’an Surah an – Nahl : 36 )
i.        Mengiktikadkan bahawa tidak ada walau satu makhluk pun yang dapat memberi manfaat dan tidak boleh mendatangkan sebarang mudarat dengan izin Allah , dan  makhluk tidak boleh disembah dan dipuja.   ( Dalil Al-Qur’an Surah Yunus : 106 )
j.        Mengiktikadkan bahawa Allah tidak mengampuni dosa orang yang menyekutukanNya dengan sesuatu. Firman Allah s.w.t. :
ErtiNya; “ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu  ( apa jua pun ) , dan akan mengampunkan yang lain dari kesalahan  ( syirik ) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya ( Menurut  peraturan hukumNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu ( apa jua )maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan  yang sejauh – jauhnya. ( Qs. An-Nisa’: 116 )                                                                                                                     
k.      Mengiktikadkan bahawa Allah s.w.t. bersifat dengan sifat kesempurnaan, dan suci dari sifat kekurangan , keaiban, kebinasaan, dan Maha Suci Allah  dari sifat – sifat yang menyamai sifat – sifat makhluk. Allah telah menegaskan mengenai hal ini dalam firmanNya, bermaksud ; “ Tiada sesuatu pun yang sebanding denganNya  ( dengan zat Allah , sifatNya, dan pentadbiranNya ) dan Dialah yang amat mendengar, lagi amat melihat .”
                                                                                                                      ( Qs. Syuara : 11 )                                                    
l.        Mengiktikadkan bahawa Dzat Allah dan Asma’Nya dan juga sifatNya yang dinyatakan di dalam Al Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w tidak boleh dikurangi, ditambah , ditukar , diganti, dinafikan dan diingkari, kerana Dzat dan juga sifatNya yang qadim tidak sama dengan sifat makhluk yang huduth ( baharu ). Firman Allah seperti dalam surah as – Syuara : 11 .
                 Beriman kepada Allah termasuklah meyakini bahawa iradah ( kehendak ) Allah ada dua jenis iaitu iradah kauniyah beerti segala yang dikehendaki oleh Allah pasti terjadi, namun tidak semestinya perkara tersebut dicintai-Nya. Ia disebutkan sebagai masyi’ah. Allah telah membuktikannya di dalam firmannya, yang bermaksud:
“ Kalau Allah menghendaki, tidaklah mereka berbunuh – bunuhan. Akan tetapi Allah berbuat apa yang dikehendaki –Nya.”                                      ( Qs. al- Baqarah : 253 )
                 Manakala, iradah syar’iyah bermaksud apa yang dikehendaki oleh Allah kepada hambanya , yang keadaannya tidak semestinya berlaku , tetapi apa yang dikehendaki-Nya ini adalah sesuatu yang dicintai-Nya.Sesuai dengan firmanNya yang bermaksud :
“ Dan Allah hendak menerima taubatmu”                                       ( Qs. an – Nisa : 27 )
2.4 Tauhid Asma Wa Sifat

            Menurut Imam al – Baihaqi yang menuliskan mengenai pembahagian Asma’ul Husna, didalam bukunya, ‘ Al – Asma’ wa as- Sifat’ ,Abu Abdullah al – Husain al – Hasan al – Hulaimi pernah mengatakan bahawa setiap muslim yang beriman wajib meyakini perkara - perkara berikut ; Mengisbatkan ( sentiasa mengakui ) Allah memiliki nama dan sifat yang sempurna serta tidak menafikan mana – mana sifat Allah itu, mengisbatkan Keesaan Allah supaya suci dan bebas dari syirik, mengisbatkan Allah bukan benda dan bukan sifat, mengisbatkan makhluk adalah ciptaan Allah dan Dia mencipta sekalian makhluk bukan dengan alat serta mengisbatkan Dia mentadbir apa yang dicipta-Nya . Makhluk tidak ditadbir oleh selain Allah.
 Secara lebih terperinci, tauhid asma wa sifat ialah beriman kepada nama-nama Allah dan sifat-Nya, sebagaimana yang diterangkan dalam Al-Qur’an dan Sunnah Rasul-Nya menurut apa yang sesuai bagi Allah s.w.t, tanpa ta’wil dan ta’thil(menafikan), tanpa takyif (mempersoalkan) dan tamtsil (menyerupakan). Boleh juga dikatakan bahawa tauhid ini adalah beriman bahwa Allah memiliki nama dan sifat baik (asma ul-husna) yang sesuai dengan keagungan-Nya. Umat Islam mengenal 99 asma ul-husna yang merupakan nama dan sifat Allah.Firman Allah
Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”                                                                                            (Qs.  Asy-Syura 42:11)
Allah s.w.t menafikan jika ada sesuatu yang menyerupai-Nya, dan Dia menetapkan bahwa Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat. Maka Dia diberi nama dan disifati dengan nama dan sifat yang Dia berikan untuk diri-Nya dan dengan nama dan sifat yang disampaikan oleh Rasul-Nya. Al-Qur’an dan As-Sunnah telah menjelaskannya, karena tidak seorang pun yang lebih mengetahui Allah daripada Allah sendiri, dan tidak ada sesudah Allah orang yang lebih mengetahui Allah daripada Rasul-Nya.
Tauhid asma dan sifat adalah pernyataan ikrar bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui keadaan segala sesuatu, Maha Kuasa, sesungguhnya Dia Maha Hidup, Dia tidak tidur dan tidak lupa. Dia Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Kasih, Dia Maha Suci, Maha Sejahtera, Maha Memelihara dan Maha Perkasa. Maha Suci Allah daripada apa-apa yang disamakan dengan-Nya.Tauhid ini belum cukup untuk memastikan seseorang itu menjadi seorang Muslim, bahkan mesti disertai dengan tauhid rububiyah iaitu peng-Esaan Allah dalam pengaturan dan tauhid uluhiyah iaitu peng-Esaan Allah dalam ketuhanan.
 Secara ringkasnya, beriman dengan kewujudan Allah adalah bermakna  beriman dengan rububiyahnya, beriman dengan uluhiyahnya dan beriman dengan asma dan sifat – sifatNya. Kewujudan Allah tiada permulaan dan tiada pengakhiran kerana  sesuai dengan Dzatnya yang Qadim dan baqa’.Firman Allah , yang bermaksud;
“ Dialah ( Allah ) yang awal dan yang akhir, dan yang zahir, serta yang batin, dan Dialah yang amat mengetahui akan tiap – tiap sesuatu. ”                                            ( Qs. al – Hadid : 3 )
3.0  KAEDAH GOLONGAN SALAF DALAM MENEGAKKAN DALIL KEWUJUDAN
ALLAH
Golongan Salaf telah menggunakan dalil – dalil Al – Qur’an sebagai penguat hujah mereka dan cuba mengaitkan beberapa konsep bagi menterjemahkan kewujudan Allah, termasuklah:
*      Fitrah
Allah Taala telah menerangkan mengenai fitrah manusia menerusi firmanNya yang bermaksud ; “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama ( Allah ), ( tetaplah atas )fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut firah itu.Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus ; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. ”                               
                                                                                                                     ( Qs. Ar-Ruum : 30 )
Sabda Rasulullah s.a.w;
“ Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”                          ( HR. Al- Bukhari dan Muslim ).
          Ibnu ‘Abdil Barr rahimahullah telah meneliti beberapa pandangan ulama dalam menterjemahkan  makna fitrah, beliau telah bersetuju dengan pandangan ulama yang berpendapat, bahawa fitrah adalah naluri atau pembawaan yang diciptakan bagi setiap anak manusia dalam bentuk pengetahuan tentang Tuhannya.Naluri ini berbeza dengan naluri binatang yang tidak akan sampai kepada pengenalan mengenai Tuhannya.
         Ibnu Taimiyah menjelaskan bahawa fitrah ialah Islam atau agama itu sendiri. Fitrah yang mengharuskan pengakuan adanya Pencipta, cinta kepadaNya, tunduk dan mengikhlaskan agama kepadaNya dan padanya ada suatu kekuatan yang mendorong ke arahnya kerana asal fitrah itu tidak bertentangan dengan syari’at. Ibnul Qayyim rahimahullah berkata: “ Fitrah itu terfokus pada pengetahuan tentang Allah , mahabbah ( cinta )kepadaNya, ikhlas keranaNya, pengakuan terhadap syariatNya dan pengutamaanNya dari yang lain.”

*      Ayat  - ayat Kauniyah
Firman Allah Ta’ala, melalui kalamullah, yang bermaksud;
“ Dan di antara tanda – tanda kekuasaan-Nya ialah Dia ( telah ) menciptakanmu dari tanah , kemudian tiba – tiba kamu ( menjadi ) manusia yang berkembang biak. ”
                                                                                                                 ( Qs. Ar – Ruum : 20 )
“ Tidakkah kamu perhatikan, bahawa sesungguhnya Allah telah menciptakan langit dan bumi dengan haq? Jika Dia menghendaki nescaya Dia membinasakan kamu dan menggantikan( mu ) dengan makhluk yang baru. ”                                                                      ( Qs.  Ibrahim : 19 )                                        
           Ibnu al – Mu’taz berkata di dalam bait – bait syairnya, bagi menerangkan kewujudan Allah, dengan cuba mengaitkan kejadian alam sebagai  ayat – ayat kauniyah menunjukkan bukti kewujudan Penciptanya, yang berbunyi;
Alangkah menghairankan, bagaimana Allah didurhakai,
Dan bagaimana Dia diingkari oleh orang yang ingkar.
Padahal setiap gerakan dan diamnya ciptaan Allah ,
Selalu menjadi saksi adanya Allah.                      
Dan pada setiap sesuatu baginya adalah tanda,
Yang menunjukkan bahawa Dia adalah Satu.
            Alam yang serba indah dan cantik serta semua hidupan yang ada di dalamnya merupakan ayat – ayat kauniyah yang menguatkan hujah bahawa adanya Pencipta yang Maha Sempurna menjadikannya. Mustahil tiada yang mengawalnya melainkan yang maha Bijaksana dan Maha mengetahui mengatur kejadiannya yang seimbang ini.
*      Dalil ‘Inayah
Dalil ‘inayah menjadi suatu dalil yang dipegang oleh golongan ulama, dimana dalil ini termasuk di bawah ayat – ayat yang membuktikan Keesaan Allah Ta’ala.Ada di antara mereka yang berkata, “ Kalau alam ini tidak ada Penciptanya, nescaya ia menjadi yang paling sia – sia. Adakah anda pernah berfikir tentang suatu ciptaan yang ada tanpa pencipta dan tentang atap yang ditinggikan tanpa ada yang mengangkatnya. Maka tidak ada yang mengingkari adanya Pencipta , kecuali kerana kesombongan dan tidak pula mengingkarinya orang yang ingkar , kecuali jiwa – jiwa yang kufur. ”
Disebalik kata – kata ulama tersebut, tersingkaplah pelbagai rahsia yang menghubungkan kepada Pencipta kepada alam ini. Ia selari dengan firman Allah yang banyak ditemui di dalam Kalamullah ini, firmanNya yang bermaksud;
“ Sesungguhnya pada langit dan bumi benar – benar terdapat tanda – tanda ( kekuasaan Allah ) untuk orang – orang yang beriman . Dan pada penciptaanmu dan pada binatang – binatang yang melata yang bertebaran ( di muka bumi ) terdapat tanda – tanda ( Kekuasaan Allah ) untuk kaum yang meyakini , dan pada pergantian malam dan siang dan hujan yang diturunkan Allah dari langit lalu dihidupkanNya dengan air hujan itu bumi sesudah matinya; dan pada perkisaran angin terdapat pula tanda – tanda ( kekuasaan Allah ) bagi kaum yang berakal. Itulah ayat – ayat Allah yang Kami membacakannya kepadamu dengan sebenarnya; maka dengan perkataan mana lagi mereka akan beriman sesudah ( kalam ) Allah dan keterangan – keteranganNya. ”
                                                                                                        ( Qs. Al – Jaatsiyah : 3- 6 )
Firman Allah, pada ayat yang lain, ertinya:
“ Bukankah Kami telah menjadikan bumi itu sebagai hamparan, dan gunung – gunung sebagai pasak , dan Kami jadikan kamu berpasang – pasangan, dan Kami jadikan tidurmu untuk istirehat, dan Kami jadikan malam sebagai pakaian, dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan, dan Kami bangunkan di atasmu tujuh buah ( langit ) yang kukuh, dan Kami jadikan pelita yang amat terang ( matahari ) dan Kami turunkan dari awan air yang banyak tercurah , supaya Kami tumbuhkan dengan air itu biji – bijian dan tumbuh – tumbuhan, dan kebun – kebun yang lebat ?”                                                               ( Qs.  An – Naba’ : 6 – 16 )
*      Dalil Mu’jizat
Selain dalil inayah, para ulama telah mengemukakan dalil mu’jizat bagi menguatkan hujah kewujudan Allah sebagai sumber mu’jizat para Nabi dan Rasul yang berperanan menyampaikan kebenaran Islam kepada umat manusia seluruhnya. Menurut al – Qadhi Abu Ya’la, mengatakan bahawa kenabian itu apabila telah tetap ( benar ) adanya melalui tegaknya mu’jizat, tentu kita mengetahui bahawa di sana ada Pengutus yang telah mengutusnya, sebab tidak akan pernah ada seorang Nabi pun kecuali ada yang mengutusnya.”Seterusnya, al – Qadhi mengambil pandangan daripada al – Baihaqi yang mengatakan bahawa metod yang digunakan oleh orang – orang yang terdahulu adalah benar dan terbukti berdasarkan keterangan yang tercatat di dalam al – Qur’an  ( surah Asy – Syu’araa : 16 – 33 )menerusi kisah fir’aun yang mengingkari adanya Allah.
Maka, dengan ketiga – tiga dalil inilah para ulama telah berhujah untuk menjelaskan adanya Allah. Mereka telah cuba mengemukakan dalil – dalil naqli dan menghubungkan pula dengan dalil – dalil aqli  bagi mendatangkan bukti – bukti bagi meyakinkan manusia.Apabila manusia melihat kesan – kesan wujud Allah s..w. t pada keindahan alam, maka akan mendorong kepada mencari Penciptanya.Imam Syafi’i juga adalah sependapat dengan golongan Salaf ini.
4.0 SIFAT – SIFAT WAJIB BAGI ALLAH

Sifat – sifat wajib bagi Allah ada 20 sifat , sepertimana berikut :
1.      Al-Wujud Allah itu diertikan sebagai ada menunjukkan maksud tetap dan benar.
2.      Al-Qidam diertikan sebagai Sedia, dibahagikan pula kepada empat bahagian seperti :
-          Qidam sifati ( Tidak ada permulaan sifat Allah Taala )
-          Qidam dzati ( Tidak ada permulaan dzat Allah Taala )
-          Qidam idhofi ( Terdahulu sesuatu atas sesuatu )
-          Qidam zamani ( Tidak terkait dengan masa )
3.      Al- Baqa’ diertikan sebagai kekal, sentiasa ada dan tiada pengakhiran
4.      Mukhalafatuhu Taala Lilhawadis diertikan sebagai bersalahan Allah dengan yang baru sama ada pada dzat atau sifatNya serta perbuatanNya.
5.      Qiyamuhu Taala Binafsih beerti berdiri  Allah dengan sendiri.
6.      Al-Wahdaniyah  beerti Esa Allah  pada dzat, sifat serta perbuatan.
7.      Al-Qudrah  beerti kuasa Allah itu memberi bekas terhadap mengadakan dan mentiadakan sesuatu.
8.      Al-Iradah beerti menghendaki dengan menentukan sekalian mamkin tentang adanya atau tiadanya.
9.      Al-Ilmu diertikan sebagai mengetahui meliputi tiap-tiap sesuatu sama ada zahir mahu pun batin.
10.  Al-Hayat beerti hidup tanpa nyawa dan nafas serta tidak makan atau minum.
11.  Al-Sama’ beerti mendengar tanpa memerlukan telinga.
12.  Al-Basar beerti melihat tiada dengan mata.
13.  Al-Kalam beerti  berkata- kata tanpa mulut.
14.  Kaunuhu Qadiran beerti keadaan Allah Taala yang Berkuasa.
15.  Kaunuhu Muridan beerti keadaan Allah yang menghendaki dan menentukan tiap – tiap sesuatu.
16.  Kaunuhu ‘Aliman beerti keadaan Allah Taala yang mengetahui akan sesuatu.
17.  Kaunuhu Hayyan beerti keadaan Allah Taala yang hidup.
18.  Kaunuhu Sami’an  beerti keadaan Allah Taala yang mendengan akan sesuatu yang maujud.
19.  Kaunuhu Basiran  beerti keadaan Allah Taala yang melihat akan tiap- tiap yang maujud.
20.  Kaunuhu  Mutakalliman  beerti keadaan Allah Taala yang berkata-kata.
                        
5.0   SIFAT – SIFAT MUSTAHIL BAGI ALLAH

Wajib keatas setiap mukalaf mengetahui sifat-sifat mustahil bagi Allah, iaitu sifat-sifat yang berlawanan dengan Sifat wajib bagi Allah, dimana terdapat 20 sifat seperti :
1.      ‘Adam beerti tiada.
2.      Hudus  beerti baru.
3.      Thuruul ‘Adam beerti Fana’
4.      Al-Mumasalatu Lilhawadis beerti bersamaan dengan segala yang baru.
5.      Ihtiyaju ilalghair beerti berhajat kepada yang lainnya.
6.      An layakuna wahidan beerti tiada  ia Esa atau berbilang-bilang.
7.      ‘Ajzun  beerti lemah.
8.      Karahiyah beerti tiada kehendak.
9.      Jahlu beerti tiada mengetahui.
10.  Maut beerti mati.
11.  Shaum beerti pekak.
12.  ‘Amaa  beerti buta.
13.  Al-Bukmu beerti bisu.
14.  Kaunuhu ‘Ajizan beerti Allah itu keadaan yang lemah.
15.  Kaunuhu karihan beerti tidak menghendaki sesuatu kejadian.
16.  Kaunuhu  Jahilan  beerti keadaan yang tiada mengetahui.
17.  Kaunuhu  Mayyitan beerti keadaan yang mati.
18.  Kaunuhu ‘Ashamma beerti keadaan yang pekak.
19.  Kaunuhu  ‘A’maa beerti keadaan yang buta.
20.  Kaunuhu  Abkam beerti keadaan yang kelu.

6.0  SIFAT HARUS BAGI ALLAH
Terdapat satu lagi sifat Allah, iaitu sifat jaiz (harus) kepada Allah. Allah bebas berbuat sekehendak-Nya , dan  manusia tidak boleh mengingkari kehandak Allah. Hal ini, kerana tiap – tiap sesuatu yang wujud di alam ini adalah perbuatan Tuhan.Termasuklah apa sahaja kejadian sama ada baik mahu pun buruk, bermanfaat atau memudaratkan, semuanya adalah harus pada hak Allah, dan tidak boleh mengatakannya tidak baik kerana Tuhan tidak mengambil manfaat terhadap sesuatu  dan tiada memberi mudarat kepadaNya oleh sesuatu.[11]

7.0       MANFAAT BERIMAN KEPADA ALLAH
            Iman yang tertanam dalam diri seseorang hamba atas cetusan rasa cinta dan pengagungan kepada Allah akan menuntutnya untuk istiqamah melaksanakan perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Oleh demikian, akan diperolehi kebahagiaan yang sempurna dan seimbang dalam kehidupan di dunia dan di Akhirat, baik sebagai individu mahupun masyarakat. Ini adalah jaminan yang diberikan oleh Allah yang dinyatakan di dalam Al- Qur’an, firmannya bermaksud: “ Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahu pun perempuan di dalam keadaan beriman , maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. ”                                                           ( Qs. An – Nahl : 97 )[12]

8.0   PENUTUP

            Beriman kepada Allah s.w.t secara hakikinya ialah mengi’tikadkan dengan keyakinan yang teguh di dalam hati bahawa Allah itu adalah Tuhan yang haq yang kepadaNyalah seluruh makhluk tunduk dan patuh. Beriman kepada Allah meliputi keimanan kepada RububiyahNya  dengan mengakui Allah adalah Khaliq yang Esa berkehendak dalam mengatur, mentadbir, mengawal, memelihara,memusnah dan mengetahui segala rahsia – rahsia alam. Seluruh makhluk khususnya manusia pada hakikatnya adalah bersifat fakir, lemah dan jahil memerlukan qudrat daripada Allah untuk terus hidup, bergerak dan berkembang. Tanpa Allah, seluruh makhluk bagaikan objek yang kaku dan mati serta tidak akan wujud dengan sendirinya kerana wujud makhluk memerlukan kepada wujud Allah sebagai wujud yang Hakiki.
            Beriman kepada Uluhiyyah Allah ialah mengikhlaskan segala bentuk pengabdian dan ibadah hanya kepada Allah sebagai Tuhan, tanpa mensyirikkannya dengan  sesuatu apapun , kerana Allah itu tiada yang setara dan serupa denganNya sebagaimana dijelaskan di dalam Al-Quran dan hadith. Beriman kepada Asma dan sifat ialah meng’iktikadkan bahawa Allah memiliki nama – nama yang indah yang menggambarkan kesempurnaan dan kebesarannya. Nama – nama ini adalah sebanyak 99 nama untuk diketahui oleh umat Islam bagi mendorong hati untuk mengenali dan sekaligus mencintaiNya. Terdapat 20 sifat wajib bagi Allah serta 20 sifat yang berlawanan dengan sifat wajib tadi. Sementara, terdapat juga sifat yang harus bagi Allah misalnya menjadikan alam adalah sifat yang harus baginya, bukanlah berkewajipan untuknya menjadikan makhluk. Semuanya adalah terserah kepada kehendakNya yang Maha Mencipta.
            Dalam memahami hakikat wujud bagi Allah, memerlukan hujah – hujah akal yang berlandaskan wahyu.Golongan salaf telah mengambil beberapa pendekatan untuk menegakkan hujah mereka iaitu dengan mengaitkan kewujudan Allah dengan fitrah,  mengemukakan dalil Inayah, menyatakan bahawa alam sebagai ayat- ayat kauniyah, serta dalil mukjizat nabi Nabi.
            Justeru, penting untuk kita mengetahui tentang Allah dengan terlebih dahulu kita mengkaji dan merenungkan kejadian diri kita sendiri yang berasal dari nutfah dan melalui pelbagai proses kejadian sehinggalah terbentuklah manusia yang disempurnakan penciptaanNya oleh Allah s.w.t. Apabila kita mengkaji dan melihat dengan pandangan mata hati pada diri kita maka, sedarlah kita betapa halus dan sempurnanya penciptaan manusia itu. Pada kesempurnaan diri manusia itu sebenarnya adalah menunjukkan kesempurnaa Allah yang Maha Bijaksana serta Maha Pemberi Bentuk dan Rupa. Pada diri kita itu tergambar wajah Allah kerana wujud makhluk adalah sebagai bayang – bayang yang wujud kerana adanya tuan punya bayang iaitu Allah. Setelah kita mengenal diri kita, betapa lemahnya kita sehinggakan segala gerak dan daya pada diri kita adalah qudrah Allah, maka lenyaplah segala kesombongan dan keegoan dalam diri yang menganggap bahawa dirinya hebat dan kuat, cantik dan sempurna,  serta bijak dan pandai, sedangkan dirinya itu lemah dan fakir malah tidak memiliki apa –apa melainkan dipinjamkan oleh Allah serta sebagai penzahiran dari sifat Kamalat Allah yang diberikan dengan syarat dan  dengan masa yang terhad di dunia ini.
Allah telah menjelaskan secara jelas di dalam Al-Quran akan tujuan penciptaan manusia di muka bumi ini dan kita telah mengikat perjanjian denganNya di alam arwah dahulu. Kita mengakui Allah sebagai Tuhan dan akan  mentaatinya.Namun, sejauhmana kita melaksanakan ikrar tersebut di dunia yang realiti ini secara ikhlas mengharapkan keredhaanNya serta mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan Allah di Akhirat kelak.
 Orang yang beriman dengan keimanan yang sebenarnya kepada Allah adalah orang yang sentiasa yakin dengan TuhanNya dengan berpegang teguh di atas kalimah tauhid serta istiqamah dalam ibadah dan sentiasa berwaspada pada setiap gerak dan tindakannya agar tidak terjatuh dari rahmat dan pandangan Allah serta sentiasa bermohon serta bertawakkal kepada Allah dengan perasaan takut terhadap azab Allah di Akhirat.Baginya, cukuplah Allah sebagai penolong untuk menjaganya dari melakukan kezaliman pada dirinya sendiri, yang kelak akan menanggung kerugian dan penyesalan yang besar ketika diri yang begitu kerdil berhadapan dengan Penguasa kepada sekalian makhluk semasa di Akhirat nanti.Mudahan-mudahan kita diselamatkan dari azab neraka  dengan rahmatnya dan dimasukkan ke syurga juga kerana rahmatNya .









9.0   BIBLIOGRAFI

Al- Qur’an al- Karim
Imam Qurthubi, 2007, Tafsir Al- Qurthubi Jilid 1, Jakarta : Pustaka Azzam
Abdul Ghani Yahya & Amar Yusuf, 1952 ,  Risalah Al- Tauhid ,Johor Baharu : Terbitan
            daripada kedua- dua penulis
Abdul Hadi Awang, 2007, Beriman Kepada Allah,Batu Caves : PTS Islamika PTS Publications
            Distributors Sdn. Bhd.
As – Syeikh Abdul Qadir al –Jailani,2008, Sirrul Asrar ,Selangor : Thinkers Library Sdn. Bhd.
Dr. Muhammad AW. Al – Aqil , 2003, Manhaj Aqidah Imam Asy- Syafi’i, Bogor : Pustaka
            Imam asy- Syafi’i.
Dr. Muhammad Naim Yasin, 2001, Iman, Rukun, Hakikat dan Pembatalannya , Kedah : Pustaka
            Darussalam Sdn. Bhd
Haji Said Haji Ibrahim, 1996, Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, Kuala Lumpur : Darul Ma’rifah.
Ibrahim asy-Syathari ( Zawiyah Syeikh Abdul Malik ), 2011, Allah : Syariat & Hakikat Satu
            Penghuraian, Kuala Terengganu : Koperasi Nur Ihsan Terengganu Berhad.
Mohd Nasir Mohd Tap, 2009, Mencarik Ilusi Menggapai Realiti , Wacana Tasawuf, Tarekat &
            Pemikiran Kalam Imam Ahmad Al- Sirhindi.Kajang : Akademi Kajian Ketamadunan
            Kolej Dar Al-Hikmah.
Syaikh Muhammad bin Shaleh Al Utsaimin, 2007, Aqidah Islamiah, Kelantan : Jabatan Hal
            Ehwal Islam.

Rujukan Laman Sesawang
BLOG TAUHID Posted on 20/01/2010 by Al Ustadz Abu Karimah Askari ,Khazanah Ilmu, Dakwah & Jihad


1 comment:

  1. Casino Tycoon Slots, Table Games & More - MapyRO
    Welcome 하남 출장마사지 to Mapyro, home to an amazing selection of casino slot machines and table games! Find 바카라 사이트 your way 군산 출장마사지 around the 전라남도 출장안마 casino, find 김해 출장샵 where everything is located with

    ReplyDelete