Friday, 12 August 2011

ulum hadith- Imam al -Bukhari


1.O      PENDAHULUAN
1.1.      Latar belakang
Al – Bukhari adalah Seorang periwayat hadith yang terkenal. Keturunannya bersambung dengan keturunan al-Mughirah, seorang mawla ( bukan Arab ) dalam Suku Ju’fi ( Yaman )Gabenor Bukhara. Beliau telah mengunjungi banyak negeri untuk menuntut ilmu hadith . Antara negeri-negeri yang dikunjungi beliau ialah Khurasan, Mesir dan negeri-negeri diantara Khurasan dan Mesir.Beliau telah berguru dengan lebih seribu orang Syeikh.Seterusnya tinggal di Kampung Khartank, sebuah negeri yang terletak tidak jauh dari Samarkand.
Nama Imam Bukhari yang sebenar ialah Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-Ju’fi al-Bukhari. Beliau berketurunan Parsi dan dilahirkan pada hari Jumaat, 13 Syawal tahun 194 Hijrah bersamaan dengan 21 hb. Julai 810 Masihi di Bukhara.
            Imam Bukhari terkenal dengan gelaran al-Bukhari kerana dinisbahkan kepada Daerah kelahirannya di Bukhara. Beliau wafat pada malam sabtu selepas solat isyak, iaitu pada malam Hari Raya Fitri, 30 Ramadan 256 Hijrah bersamaan 31 hb. Ogos 870 Masihi di Kampung Khartank, salah sebuah Kampung di dalam Daerah Samarkand, Bukhara ketika beliau berusia 62 tahun. Jenazah beliau telah dimakamkan di sana selepas solat zohor pada hari Raya pertama. Pada ketika jenazah beliau hendak di letakkan ke dalam liang lahad, tiba-tiba dengan kehendak Allah swt ,berlaku suatu keajaiban dimana tanah di situ tiba-tiba berbau wangi dengan haruman kasturi selama beberapa hari.
            Bapa Imam al-Bukhari merupakan seorang Ahli Hadith yang menimba ilmu hadith daripada ulama- ulama terkenal seperti ; Malik bin Anas dan Ibn al-Mubarak. Bapa beliau telah meninggal dunia ketika beliau masih kanak-kanak lagi.Menurut Abu Syahbah dalam kitabnya, A’lam al-Muhaddithin, menyatakan bahawa Imam Bukhari dilahirkan dalam keadaan buta. Namun, berkat doa yang tidak putus-putus oleh ibunya yang merupakan seorang wanita yang salih ,akhirnya Allah swt mengkabulkannya. Maka , dengan kehendak Allah juga, Imam Bukhari dapat melihat dunia.
            Imam Bukhari amat bertuah kerana dilahirkan dalam lingkungan keluarga yang baik, beriman, salih dan ibunya sentiasa memastikan beliau mendapat makanan yang halal dan bersih dari syubhah mahu pun haram. Ibunya telah menyusukannya sendiri serta mendidik beliau dengan ketaqwaan.Pada tahun 210 Hijrah,beliau bersama-sama dengan ibu dan abangnya, yang bernama Ahmad telah pergi  ke Makkah untuk menunaikan ibadah Haji dan selepas mengerjakan ibadah tersebut ibu dan abangnya pulang dan meninggalkan beliau untuk mendalami ilmu hadith di sana.
            Selama berada di Makkah dan Madinah , Imam Bukhari menimba ilmu hadith, dan mengarang sebuah kitab iaitu Jami’ al-Sahih. Selanjutnya, pada usianya 18 tahun beliau telah mampu menulis sebuah kitab iaitu Qadaya al-Sahabah wa al-Tabi’in. Beliau juga menulis Kitab al-Tarikh yang penulisannya dilakukan di sisi maqam Nabi Muhammad s.a.w di Madinah di bawah cahaya bulan.
            Dilihat dari segi keperibadiannya, beliau merupakan seorang yang warak, zuhud, salih serta berperwatakan lemah – lembut. Beliau memiliki jiwa yang halus dan mengamalkan sikap tawadduk apabila berbicara dengan masyarakat tanpa mengira pangkat mahu pun darjat mereka. Beliau adalah seorang ulama mujtahid. Beliau sentiasa mempraktikkan apa yang beliau ucapkan.
            Selain dari menguasai ilmu – ilmu Islam, Imam Bukhari juga berminat dengan aktiviti riadah seperti sukan memanah. Beliau bukan sahaja mementingkan ilmu pengetahuan, malah sentiasa menjaga kesihatan mental dan fizikal melalui bersukan. Dikatakan bahawa beliau berkemahiran dalam sukan memanah ini dan sentiasa tepat panahan yang beliau lepaskan. Menurut sahabat beliau, Warraq yang selalu menemani beliau memanah, mengatakan bahawa hanya dua kali sahaja Imam Bukhari tidak tepat sasarannya.[2]
            Apabila menelusuri rutin dan aktiviti disepanjang perjalanan hidup tokoh ini,kehidupan beliau penuh dengan ibadah sehingga dikatakan bahawa Imam Bukhari dan sahabat-sahabatnya berkumpul pada setiap malam awal bulan Ramadan, dan melakukan solat berjemaah yang diimami oleh beliau sendiri. Imam Bukhari  akan membaca 20 ayat pada setiap rakaat sehingga khatam al-Qur’an di dalam solatnya. Beliau amat mencintai kalamullah dan sering mendampingi al-Qur’an.Pada waktu sahur pula,beliau akan membaca sepertiga atau setengah daripada keseluruhan surah al-Qur’an sehingga beliau dapat mengkhatamkan al-Qur’an pada setiap tiga malam berikutnya, dan beliau akan mengkhatamkan al-Qur’an pada siang harinya.Pada waktu sahur juga, beliau akan mendirikan solat sebanyak 13 rakaat. Beliau juga sentiasa melakukan qiamulail pada setiap malam.
1.2       Pendidikan
Imam Bukhari telah dikurniakan kecerdikan akal dan kepintaran yang luar biasa kecerdasannya. Beliau dapat mengingati serta mudah untuk memahami dengan cepat sesuatu ilmu yang didengarinya. Beliau mula mempelajari ilmu hadith ketika berumur 11 tahun serta telah memanfaatkan umur beliau dengan mendalami ilmu hadith dan ilmu-ilmu lain selama 5 tahun di Basrah.
            Semasa beliau berumur 16 tahun, beliau dikatakan mampu dan dapat menghafaz sebuah Kitab karangan Ibn al-Mubarak dan al-Waqi’.Malah, beliau juga mampu berhadapan dengan guru beliau dan berhujah dengannya. Dalam hal ini, beliau sendiri pernah berkata: “ Saya diberi ilham oleh Allah untuk menghafaz hadith – hadith ”.
            Imam Bukhari menetap di Hijjaz selama 6 tahun dan berkunjung ke Baghdad, Basrah dan Kufah sebanyak 8 kali. Selain itu, beliau telah mengembara ke seluruh pelusuk negeri dan tempat semata-mata menjejaki dan bertemu sendiri dengan perawi hadith. Oleh yang demikian, beliau dapat mendalami ilmu hadith dan mengumpulkan hadith daripada lebih 1000 orang guru dan mempelajari hadith selama lebih kurang 16 tahun.
Dari segi tahap penguasaan ilmu hadith, dikatakan bahawa Imam Bukhari mampu mengingati sejuta buah hadith lengkap dengan matan dan sanad yang sempurna.Beliau juga dapat membezakan antara hadith yang sahih atau pun tidak. Beliau juga telah meriwayat hadith daripada lebih 90 000 perawi dan tidak pernah timbul sikap putus asa dalam mempelajari ilmu hadith.Imam Bukhari mahir dalam ilmu Sanad dan ilmu ‘Illat ( kecacatan hadith ).
            Menurut fakta sejarah, Abu Abbas al-Baghdadi menceritakan daripada Ahmad bin ‘Adi al- Hafiz, bahawa pada suatu ketika para Ahli hadith di Baghdad telah berkumpul untuk menguji Imam Bukhari. Mereka telah bertanyakan kepada beliau 100 hadith yang diubah dan ditukarkan matan dan sanadnya dengan meletakkan hadith tersebut tidak teratur dan bercampur-aduk diantara sanad dan matannya. Sementara, sejumlah 100 hadith dibahagikan kepada sepuluh orang ulama hadith beserta 10 hadith setiap orang.Seorang demi seorang membentangkan hadith sehinggalah selesai kepada 100 buah hadith yang telah diubah dibentangkan oleh ulama tersebut.
            Namun begitu, Imam Bukhari dapat membetulkan semula dengan mengemukakan matan hadith kepada sanad yang betul serta mengembalikan sanadnya kepada matan yang betul. Hal ini, telah membuatkan hadirin terkejut dan begitu kagum dengan kemampuan luar biasa Imam al-Bukhari. Oleh demikian, para ulama pada ketika itu mengakui bahawa Imam Bukhari memang memiliki hafalan yang kuat serta mahir dalam ilmu hadith .
1.3       Guru-Guru Imam Bukhari
            Imam Bukhari di dalam pencarian ilmunya, telah berjumpa dengan ramai guru, antaranya ; Ibrahim bin Hamzah al-Zubairi, Ibrahim bin al-Munzir al-Khuzami,Ahmad bin Hanbal, Ahmad bin Abi at- Tayyib al-Marwazi, Abi an- Nadhar Ishaq bin Ibrahim al-Faradisi, Ishaq bin Rawahi, Tsabit bin Muhammad as- Saibani az-Zahidi, Ja’far bin Abdullah as-Silmi al-Baikhi, Abil Yaman al-Hikami bin Nafi’, Khalid bin Mukhalid, Abi Ashim ad-Bihaq bin Mukhalid, Thalaq bin Ghanam an- Nakha’i, Said bin al-Hikam bin Abi Maryam, Said bin Sulaiman al-Wasithi, Sulaiman bin Harb, Ali bin Al-Madini, Abi Naim al-Fadhli bin Dakin, Kubaishah bin Uqbah, Kutaibah bin Said , Qais bin Hafz ad-Darimi, Muhammad bin Ashabah ad-Daulabi, Abi Tsabit Muhammad bin Ubaidillah al-Madini, Muhammad bin Fadhli as- Sadusi, Muhammad bin Yusuf al-Faryabi, Ibrahim al- Barkhi, Abi Salma Musa bin Ismail Atabawwazuki, Naim bin Hamad al-Marwazi, Abil Walid Hisyam bin Abdil Muluk at- Thayarusi, Yahya bin Abdillah bin Bakir, Yahya bin Mu’in, dan masih banyak lagi dinyatakan dalam Kitab al-Jamik as-Sahih.


1.4       Murid-Murid Imam Bukhari
Imam Bukhari adalah ilmuan hadith yang mempunyai banyak pengikut, diantara murid-muridnya ialah ; at-Tirmizi, Ibrahim bin Ishak al-Harbi, Ibarahim bin Ma’qol an-Nasafi, Ibrahim bin Musa al-Jauzi, Abul Abbas bin Ahmad bin Muhammad bin al-Azhar al-Azhari an- Naisaburi, Ishak bin Ahmad bin Zairaq al –Farisi, Abu Bakar Ahmad bin Muhammad bin Sadaqah al – Baghdadi, Abu Amru Ahmad bin Nasr Ibnu Ibrahim al-Khafaf an-Naisaburi, Ishak bin Dawud as-Sofi at-Tastari, Ja’far bin Muhammad al-Qattan, Husain bin Ismail al-Muhamili, Abu Yahya Zakaria bin Yahya al-Bazzas, Abdullah bin Musa an – Naisaburi al – Hafizi,Ja’far bin Muhammad al – Qattan, Husain bin  Ismail al-Muhamili, Abu Yahya Zakaria bin Yahya al – Bazzas,Abdullah bin Ahmad bin Abdus Salam al-Khafaf an- Naisaburi, , Abu Bakar Abdullah bin Muhammad bin Abi Dunia, Abdullah bin Abdur Rahman bin al-Asqar al-Qadi al-Bashari, Abdullah bin Muhammad bin Najiah al-Baghdadi, Abu Zar’ah Ubaidillah Ibnu Abdil Karimar Razi, Abu Ma’shar al-Fadhli bin Ahmad bin Ya’kub bin AsyRas ad-Dabbi an-Nasafi al-A’ma al-Hafiz, Al-Fadhli bin Al-Abbasi ar-Razi al-Hafiz ( dikenali dengan Bi Fadhli ), Abu Ahmad Muhammad bin Sulaiman bin Faris, Muhammad bin Sahl al-Mukri al-Fasawi, Muhammad bin Abdullah bin al-Junaid, Muhammad Ibnu Yusuf al-Farbawi, Muslim dan al-Hujjaz serta Abu Thaha Mansur bin Muhammad Ibnu Ali an-Nasafi.
1.5       Karya – Karya Imam Bukhari
Imam Bukhari telah meninggalkan warisan ilmu yang banyak kepada kita, malah menjadi panduan kepada umat Islam seluruhnya.Antara karya-karya beliau yang terkenal ialah Kitab Sahih Al-Bukhari atau judul lengkapnya iaitu al-Jamik al-Musnad al-Shahih al-Mukhtasar min umur Rasulillah wa Sunanihi wa Ayyamihi. Beliau memperuntukkan masa selama 16 tahun bagi menyempurnakan penulisan kitab tersebut.
            Selain itu, Imam Bukhari telah mengarang banyak Kitab , diantaranya ialah ; Qadhaya al-Shahabah wa al-Tabiin, Raf al-Adyan, Qiraat Khaf al-Imam, Khalq Af’al al-Ibad, al-Tafsir al-Kabir, Al-Musnad al-Kabir, Tarikh Shaghir, Tarikh Ausat, Tarikh Kabir, Al – Adab al-Mufrad, Birr al-Walidaini, Al-Dhuafa, Al-Jamik al-Kabir, Al-Asyribah, Al-Hibah, Asamik as-Shahabah,Al-Wuhdan,Al-Mabsuth, Al-Ilal, Al-Kuna dan Al-Fawaid.

1.6       Kecintaan Terhadap Ilmu
Imam Bukhari amat mencintai ilmu-ilmu hadith serta ilmu-ilmu hikmah. Beliau juga adalah seorang yang sangat beradab terhadap ilmu.Menurut Said Bakar bin Munir bin Khalid bin Askar beliau berkata : “ Suatu hari Amir Khalid bin Ahmad , seorang wali Bukhara diutus kepada Muhammad bin Ismail agar beliau membawa dua buah kitab iaitu Kitab al-Jamik dan at-Tarikh dan membawanya kepada wali tersebut.Namun, Muhammad bin Ismail berkata kepadanya : “Saya tidak akan mencela ilmu dan saya tidak akan membawanya menuju ke pintu-pintu rumah orang, apabila engkau mempunyai hajat, maka datanglah ke majlisku atau ke rumahku. Kalau sekiranya ini mengejutkanmu maka engkau sebagai Penguasa berhak melarangku dari majlis yang kuadakan sehingga pada hari kiamat kelak, hal itu menjadi tanggungjawabku.”
            Imam Bukhari berkata : “ Aku tidak akan menyembunyikan ilmu sesuai dengan sabda Nabi yang bermaksud : Sesiapa yang ditanya tentang ilmu kemudian dia menyembunyikannya maka dia akan diseksa dengan api neraka. ”
1.7       Ijtihad Imam Bukhari
Menurut kesepakatan para ulamak,mengatakan bahawa Imam Bukhari merupakan salah seorang ahli fiqih dan pakar ijtihad. Ahmad bin Sayar menyebutkan di dalam Kitab Tarikh Marwi : Muhammad bin Ismail adalah orang yang suka mencari ilmu, bergaul dengan masyarakat, mengembara mencari ilmu hadith, mempunyai ingatan yang kuat, dan seorang yang fiqih. Seterusnya, Muhammad al-Masandi berkata : “Muhammad bin Ismail adalah seorang Imam atau contoh ikutan, maka barangsiapa yang tidak menjadikannya imam maka tercelalah orang tersebut.”
Selanjutnya pula, Ad –Darimi berkata : “Aku telah melihat para ulamak di Haramain, Hijaz, Syam, dan Iraq, tetapi aku tidak melihat ulamak seperti Muhammad bin Ismail, beliau adalah orang yang lebih faqih dari kamu dan orang yang lebih banyak dalam menuntut ilmu.”


1.8       Sanjungan  Ulamak Terhadap Imam Bukhari
            Berkat ketulusan hati Imam Bukhari dalam menuntut ilmu telah mengangkat beliau menjadi seorang yang mulia dan terpuji, bukan sahaja di mata masyarakat , malah mendapat perhatian pada pandangan ulamak terkemuka.. Beliau disanjung oleh para ulamak, yang amat menggakumi keilmuan yang dianugerahkan Allah kepada beliau. Antaranya ialah Abu Sahal as-Syafii berkata : “ Aku telah memasuki negeri Basrah , Syam, Hijaz dan Kufah, dan aku dapati di sana para ulamak yang kesemuanya telah memuji Muhammad bin Ismail”.Seterusnya, Ahmad bin Hanbal, berkata : “ Para Penghafaz hadith dari penduduk Khurasan iaitu Abu Zar’ah ar-Razi, Muhammad bin Ismail al –Bukhari , Abdullah bin Abdur Rahman as-Samarkandi dan Hasan bin Syujak al-Balkhi.”Beliau menambah lagi : “Aku tidak akan dapati seseorang di negeri Khurasan seperti Muhammad bin Ismail al-Bukhari.”
            Abu Said Hatim bin Muhammad bin Hazim berkata : “Aku mendengar Musa bin Harun al-Hamali berkata kepadaku : “Kalaulah sekiranya kaum muslimin itu berkumpul maka mereka akan mengikuti  jejak Muhammad bin Ismail.”











2.0       HURAIAN KITAB SAHIH BUKHARI DARI PELBAGAI SUDUT
2.1       Pengertian Sahih al -  Bukhari
‘Sahih Bukhari’ adalah nama ringkasan bagi tajuk buku asal karangan beliau, iaitu Kitab al-Jami’al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar min Umur Rasulillah s.a.w wa Sunnah wa Ayyamih.
     Tajuk yang dipilih membawa maksud yang tersendiri. Al-Jami’ beerti kumpulan lengkap hadith Rasulullah yang merangkumi semua bidang keperluan hidup umat Islam. Al-Sahih pula beerti majoriti hadith yang terdapat di dalam karangan beliau merupakan hadith-hadith yang sahih. Al- Musnad beerti hadith-hadith karangan Imam Bukhari mempunyai sanadnya yang bersambung hingga kepada sahabat yang merawikan sesuatu hadith sama ada dalam bentuk pertuturan, perlakuan dan pengakuan. Maksud di akhir nama kitab ini adalah menunjukkkan bahawa hadith ini adalah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w di sepanjang hidupnya.
2.2       Metod Penulisan
Permulaan kepada penghasilan sebuah kitab sahih tercetus ketika Imam Bukhari bersama-sama Ishaq bin Rawaih,tiba-tiba memberi cadangan kepada beliau, katanya : “ Apa kata kalau kamu mengumpulkan secara ringkas hadith-hadith Sahih Nabi s.a.w ”. Selepas mendengar cadangan Ishaq bin Rawaih, maka tergeraklah hati beliau untuk melaksanakan pengumpulan hadith-hadith melalui Kitab al-Jami’ al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar min Umur Rasulillah s.a.w wa Sunanih wa Ayyamih, yang lebih dikenali dengan  Sahih al-Bukhari.
            Matlamat kepada sesuatu penulisan ialah untuk mewujudkan sebuah kitab Sahih dan istinbat serta ijtihad hukum- hakam yang tercatat di dalam sesebuah hadith. Beliau menyusun Kitabnya berpandukan kepada beberapa topik yang dikenali sebagai ; Kitab, dan di dalam setiap huraian kitab itu ada tajuk-tajuk kecil yang dikenali sebagai : Bab.
            Di dalam Sahih al-Bukhari dinyatakan bahawa terdapat 97 Kitab dan 340 Bab. Antara nama Kitab yang ada di dalam Sahihnya ialah ; Kitab Bad’ al-Wahy, Kitab al-Iman, Kitab al-‘llm, Kitab al-Wudu’, Kitab al-Salah, Kitab al-Jumu’ah, Kitab al-Jana’iz, Kitab al-Zakah, Kitab al-Sawm, Kitab al-Jihad, Kitab al-Tafsir dan Kitab al-Nikah.
            Bagi setiap Kitab yang beliau tulis, beliau akan memulai dengan nas al-Qur’an, hadith, fatwa, sahabat, serta Tabi’in untuk menerangkan topik tersebut dan juga sebagai dalil serta hujah. Sementara, bagi setiap hadith yang diperolehi oleh Imam Bukhari diteliti dengan baik sama ada dari segi perawi serta rangkaian sanadnya meliputi semua aspek. Bagi memastikan kesahihan sesebuah kitab, Imam Bukhari akan membersihkan dirinya terlebih dahulu, berwuduk dan melakukan solat sunat istikharah dua rakaat dan selanjutnya memohon petunjuk daripada Allah s.w.t.
Terdapat beberapa garis panduan yang telah ditetapkan oleh Imam Bukhari bagi memastikan kesahihan bagi setiap hadithnya seperti; memastikan sanadnya bersambung, perawinya bersifat adil, thiqah dan memenuhi kriteria –kriteria hadith maqbul, perawi  hadith mempunyai ingatan yang baik dan penjagaan hadith riwayatnya baik dari sudut tulisan atau hafalan ( dhabit ), beliau akan berjumpa sendiri dengan perawi tersebut dan melihat peribadinya dan beliau akan menolak mana-mana hadith yang mana perawinya, tidak beramal dengan hadith.
            Hadith yang terdapat di dalam sahihnya adalah berasal dari 600,000 buah hadith yang telah dihafalnya. Selepas Imam Bukhari menyiapkan Kitabnya, beliau menyerahkan kitab sahihnya kepada beberapa orang ulamak muktabar bagi tujuan penyemakkan dan penelitian untuk mengesahkan kesahihannya. Bagi tujuan itu, beliau telah merujuk kitabnya kepada Yahya bin Ma’in, Ali bin al-Madini serta Imam Ahmad bin Hanbal.
            Di dalam kitab sahihnya, beliau telah memasukkan sebanyak 9082 buah hadith termasuk hadith yang berulang. Sementara, jumlah ini tidak termasuk hadith Mawquf Sahabat dan Maqtu’ Tabi’in serta yang selepas mereka. Dicatatkan bahawa jumlah perawi hadith dalam kitabnya ialah 90,000 orang .Kandungan hadith dapat dikelaskan kepada beberapa kumpulan seperti :
v  Sejumlah 6397 buah hadith sahih termasuk hadith yang diriwayatkan secara berulang,
v  Sebanyak 2602 buah hadith yang bersambung sanad telah diriwayatkan secara tidak berulang,
v  Sebanyak 1341 buah hadith Mu’allaq Marfu’ yang disambung rangkaian sanadnya di tempat lain dalam sahihnya,
v  Sebanyak 22 buah hadith Thulathiyyat Asanid iaitu merujuk kepada bilangan perawi diantara Imam Bukhari dan Rasulullah s.a.w. hanya 3 orang perawi sahaja.
Bagi menjelaskan mengapa berlaku pengulangan hadith pula, adalah disebabkab beberapa tujuan iaitu ; Hadith yang sama tetapi terdapat hukum yang lain di dalamnya, hukum lain perlu dimasukkan di dalam pecahan kitab dan bab yang lain, hukum yang diistinbatkan perlu diselaraskan dengan hadith walaupun diulangi dengan hadith yang sebelumnya, serta hadith yang sama, tetapi rangkaian sanad berbeza.
2.3       Karya Ulasan dan Huraian al - Sahih Bukhari
            Antara beberapa karya ulasan dan huraian bagi Kitab Sahih Bukhari termasuklah ; A’lam al – Sunan ( karya Imam Abu Sulaiman al-Khattabi al-Busti ), al- Talwih fi Syarh al-Jami’ al-Sahih ( karya Imam Hafiz ‘Ala’ al-Din Mughaltai al- Turki al-Misri al- Hanafi ), al-Kawakib al-Darari ( Karya Syams al – Din al- Kirmani ), Syawahid al- Tawdih ( karya Ibn al-Mulqan al – Syafi’i –murid kepada Mughaltai al- Turki al- Misri ), Umdah al – Qari ( karya  Badr al – Din Mahmud bin Ahmad al – ‘Aini al – Hanafi ),Fath al – Bari ( Ibn Hajar al – ‘Asqalani ) dan Irsyad al – Sari ( Karya Ahmad bin Ahmad al-Qastalani ).
2.4       Karya Ikhtisar Sahih al –Bukhari
            Karya – karya ikhtisar terdiri daripada tiga buah kitab iaitu ; Ikhtisar Jami’ al –Bukhari   ( karya Ahmad bin Umar al- Ansari Abu al – ‘Abbas al – Qurtubi ), Irsyad al – Sami’ wa al – Qari ila al – Muntaqa min Sahih al – Bukhari ( Karya Badr al –Din Hasan bin Umar bin Hubaib al – Halabi ) dan al – Tajrid al – Sarih li Ahadith al – Jami’ al – Sahih ( karya al – Zabidi ).
2.5       Karya Berkaitan Sahih al - Bukhari
            Antara karya-karya yang berkaitan dengan kitab Sahih Bukhari adalah ; al – Ifham bi ma Waqa’ fi al- Bukhari min al – Ibham ( karya Jalal al – Din al – Balqini ), Rijal al- Bukhari , judul kitabnya iaitu al – Hidayah wa al – Irsyad fi Ma’rifah Ahl al Thiqah wa al – Saddad ( karya al – Kalabadhi ) serta al – Jam’ baina Rijal al – Sahihain ( karya Ibn al – Qaisarani ).     



3.0       KELEBIHAN DAN KEISTIMEWAAN KITAB SAHIH al- BUKHARI BERBANDING
KITAB – KITAB HADITH LAIN
Kitab Sahih Bukhari adalah sebuah kitab yang sangat dikenali oleh majoriti umat Islam, terutamanya bagi pencinta- pencinta hadith yang meminati untuk mengkaji hadith. Di dalam kitab ini hanya dimuatkan hadith – hadith sahih sahaja. Kitab ini mendapat pengakuan dan pujian daripada para ulama yang meletakkan kitab ini di tahap kedua sumber ilmu Islam selepas al- Qur’an. Kitab ini mengandungi paling banyak dan sangat tepat dalam pengumpulan hadith-hadith sahih berbanding dengan kitab-kitab sebelumnya yang masih lagi bercampur – aduk dengan hadith-hadith pelbagai martabat.
            Kitab sahih al –Bukhari merupakan tapisan daripada 600, 000 hadith yang dijalankan dalam masa 16 tahun. Dari sudut penulisnya iaitu Imam Bukhari sendiri adalah seorang yang memiliki kemampuan hafalan yang hebat dan tepat. Beliau amat beradap terhadap ilmu, sehinggakan penulisan yang dibuat ke atas Kitab sahih ini hanya dilakukan selepas membersihkan diri dengan melaksanakan solat 2 rakaat. Dilihat dari gaya persembahan penulisan kitab ini, menunjukkan suatu susunan yang mantap dan mencakupi semua topik penting dan dasar dalam Islam yang meliputi ; Aqidah, Fiqh, Akhlak , Muamalat, Sirah,. Tafsir, Manaqib dan sebagainya.
            Kekuatan kitab sahih Bukhari ialah kerana isi kandungan atau mesej yang ingin disampaikan di dalamnya didokong oleh nas-nas al- Qur’an yang bersifat qat’i yang memperkukuhkan kebenaran hadit-hadith tersebut.Imam Bukhari bukan sahaja memasukkan nas dan hadith, malah turut mengemukakan fatwa sahabat, tabi’in dan  yang selepasnya dimana ia selaras dengan hadith yang beliau tulis berpandukan topik yang berkaitan.
            Seterusnya, kelebihan kitab ini ialah pengarangnya sendiri, mampu melakukan ijtihad dan sememangnya,beliau amat dikenali, malah mendapat gelaran ulamak sezamannya sebagai seorang yang faqih dan mujtahid. Perawi-perawi yang yang dikatakan sejumlah puluhan ribu itu adalah diantara mereka yang thiqah serta diperakui oleh ulama sezamannya.

            Antara guru – guru Imam Bukhari yang telah meriwayatkan hadith kepadanya ialah ; Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Yahya al – Tamimi, Muhammad bin Abdullah al – Ansari serta Abdullah bin Musa. Manakala antara para ulama yang meriwayatkan hadith daripadanya adalah seperti ; Imam al – Tirmidhi, Imam Muslim serta Saleh bin Muhammad al –Asad.
4.0       PENUTUP
Imam Bukhari adalah seorang ilmuan hadith yang terkenal di kalangan ahli – ahli hadith pada zamannya sehinggalah pada masa kini namanya masih disebut-sebut oleh para ulamak kerana sumbangannya mengarang sebuah hadith yang menjadi rujukan umat islam.Beliau dianugerahkan oleh Allah dengan kelebihan iaitu mempunyai ingatan yang kuat, benar, warak, serta bersifat lemah – lembut dengan masyarakat pada zamannya. Beliau telah  dilahirkan dalam keluarga yang salih serta mendapat didikan yang baik oleh ibunya. Ibunya sentiasa memelihara sumber makanan dan minuman yang diberikannya kepada Imam Bukhari . Kesannya ,telah menjadikan Imam Bukhari seorang yang bertaqwa dan memiliki kejernihan hati. Dengan itu, Imam Bukhari menjadi seorang yang hafiz dan mampu menguasai ilmu hadith pada usia yang muda dan seterusnya mengarang kitab hadith iaitu Kitab Sahih Bukhari.
 Beliau bukan sahaja merupakan seorang pengarang dan pengkaji ilmu agama, malah adalah seorang guru yang mengajar di Bukhara. Beliau telah dilahirkan di dalam keadaan buta, namun berkat doa ibunya, akhirnya beliau dapat melihat semula. Beliau berperanan sebagai orang yang menyambung perjuangan Nabi Muhammad s.a.w dimana beliau telah menghidupkan amalan-amalan sunnah Nabi melalui karangan kitabnya yang mengandungi hadith-hadith sahih sebagai rujukan kedua Umat Islam selepas al- Qur’an.
Beliau telah menjadi pencetus kepada lahirnya ilmuan-ilmuan hadith selepasnya, misalnya Imam Muslim yang sangat mengkagumi Imam Bukhari dan menjadikannya sebagai contoh ikutannya. Imam Muslim juga menyusun sebuah kitab Hadith yang dinamakan Kitab Sahih Muslim. Beliau selalu berkunjung ke majlis ilmu Imam Bukhari, dan berkata ; “Tuan biarkan sahaja aku mencium kedua kaki tuan, wahai ahli hadith yang mengerti mengenai kecacatan hadith dan juga Penghulu sekalian ahli hadith”. Begitulah pengakuan Imam Muslim terhadap Imam Bukhari yang bukan sahaja berilmu, tetapi amat disanjung tinggi oleh umat Islam dari pelbagai kedudukan. Imam Bukhari merupakan seorang tokoh periwayat hadith yang sentiasa berdampingan dengan al- Qur’an sehingga memperuntukkan banyak waktu semata-mata untuk membaca Kalamullah ini.
Mudah – mudahan dengan keikhlasan beliau dalam menyebarkan hadith – hadith kepada umat islam melalui karangannya, akan mendapat ganjaran di sisi Allah sebagai ilmu yang bermanfaat. Dalam pada itu, dengan pengkajian terhadap tokoh ini, mudah - mudahan dapat mencetuskan keinginan untuk meneliti apa yang terkandung di dalam kitab sahih Bukhari bagi menumbuhkan rasa cinta terhadap Nabi Muhammad s.a.w dan seterusnya mengamalkan sunnahnya dalam  kehidupan sebagai muslim sejati.















5.0       BIBLIOGRAFI
Terjemahan Hadis Sahih Bukhari, Jilid 1,2,3, 1998, Kuala Lumpur : Victory Agencie
Mahayudin  Hj Yahaya,Ensiklopedia Sejarah Islam, Jilid 1, Kuala Lumpur :
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Prof. Madya Dr Ariffin Omar & H. M Yusuf Sinaga Lc. 2005. Biografi Ulamak – Ulamak
            Hadith. Johor Bharu : Perniagaan Jahabersa.
Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin .2005. Pengantar Ulum Hadith Edisi Kedua .Kuala Lumpur :
            Pustaka Salam.




No comments:

Post a Comment