Friday 12 August 2011

cabaran agama masa kini- ISLAM LIBERAL


SEJARAH  KEMUNCULAN  LIBERAL


Sejarah kemunculan liberal bermula dengan gerakan reformasi ( reformation period ) yang antara tokohnya adalah Martin Luther (1483-1546). Gerakan reformasi ini bertujuan untuk menentang autoritarianisme pemerintahan gereja, menghadkan kekuasaan politik, mempertahankan pemilikan serta menetapkan hak asasi manusia supaya tidak ditindas.
Liberalisme juga menjadi tunjang kebangkitan Eropah atau zaman Renaissance yang dicatat oleh para sejarawan sebagai zaman penolakan terhadap kekuasaan kerohanian geraja. Menurut Harold Laski, tujuan liberalisme adalah untuk menhapuskan ketuanan dan kekuasaan golongan agama dan menghapuskan cukai terhadap geraja. Oleh itu, kemunculan liberalisme memang berkait rapat dengan keagamaan dan pemerintahan kuku besi.
Istilah liberalism mula digunakan sebagai falsafah politik pada abad ke-18 masehi di Eropah. Antara tokohnya adalah, Immuel kent, John Locke, Thomas Paine, Jeremy Bentham dan ramai lagi.
Pendekatan liberal terbahagi kepada dua iaitu liberalisme klasik dan liberalisme moden. Liberalisme klasik dipimpin oleh John Lock manakala liberalisme moden didokong oleh Jeremy Bentham dan Mill. Konsep  yang dibawa John Locke masih bersifat teologis kerana masih berpegang pada hukum alam, menurutnya tuhan memberikan kebebasan kepada manusia untuk menafsirkan hukum Tuhan dengan akal dan pancaindera.
Konsep yang dibawa oleh Mill adalah berbentuk aliran budaya liberalism yang melihat bahawa pemerintah atau masyarakat tidak berhak membatasi segala tinadakan individu, selagi tidak membahayakan atau merosakkan. Maknanya hak seorang Individu yang baik tidak campur tangan orang lain.



AKAR PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL
Islam adalah agama wahyu dari Allah yang disampaikan melalui Nabi Muhammad s.a.w. kira-kira 1400 tahun yang lalu. Islam adalah agama yang lengkap ( syumul) yakni menyeluruh bagi manusia mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Islam adalah berlandaskan al-Quran dan hadis. Islam adalah way of life yang lengkap mengenai aspek-aspek kehidupan dari segi sosial, politik, ekonomi dan pendidikan.
Namun, pada akhir abad ke-20 masehi terdapat fenomena baru dalam pemikiran Islam yang memperkenalkan tentang Islam liberal yang telah mengemparkan dunia Islam dengan isu-isu yang kontroversi dan idea-idea yang  agak eksterim. Namun begitu,tidak ramai menyedari bahawa gerakan yang mendokong Islam liberal telah membuka jaringan yang luas, bukan sahaja di nusantara dan di semenanjung arab malahan serata dunia.
Pada umumnya, Islam liberal merupakan proses pembaharuan kepada modenisme Islam pada kurun ke-21. Modenisme Islam telah lama wujud di kalangan intelektual muslim dan menjadi pemikiran yang berpengaruh dalam dunia Islam sejak abad ke-19 Masehi.
Golongan yang menganut fahaman Islam Liberal , adalah golongan yang tidak terikat dengan mana-mana pandangan dan pendapat serta aliran pemikiran.Mereka ini juga akan mempraktikkan Islam itu dengan pandangan dan pendapat serta pemikiran yang terbuka dengan tidak merujuk kepada mana-mana Ulama.Secara ringkasnya juga golongan ini boleh disebut sebagai golongan yang bersifat bebas dalam apa juga hal dalam Islam.
Pada asalnya kemunculan modenisme Islam adalah untuk memperjuangkan pembaharuan dengan menentang taqlid. Seorang tokoh utama modenisme Islam, Muhammad Abduh yang membawa aliran pemikiran tersebut yang menginginkan pembaharuan dalam sistem pendidikan supaya umat Islam tidak berfikiran jumud dan mundur agar tidak ketinggalan disebabkan pemikiran yang tertutup. Akibat dari itu, aliran yang dibawa oleh tokoh modenisme ini telah menjadi satu aliran yang menjadikan aliran rasionalisme sebagai prinsip dalam setiap pendekatan yang diambil.

Menurut kaum orientalis barat, golongan modenisme Islam ini adalah golongan yang mendokong liberalisme dalam Islam dan membawa pendekatan yang menyerukan penafsiran rasional terhadap al-Quran.
Kemunculan para modenisme Islam adalah dari pertemuan yang tidak seimbang dan yang bertentangan antara dunia Islam dan barat. Sebab dari penjajahan yang dilakukan terhadap umat Islam selama 400 tahun sedikit sebanyak telah ,menyebabkan sikap rendah diri (inferiority complex ) apabila berhadapan dengan peradapan yang lebih canggih dan hebat dari segi teknologi dan ciptaannya.
Gerakan modenisme telah melakukan perubahan setelah kemunculan Fazlur Rahman, (1919-1988) yang telah membuat kerangka pemikiran modenisme pada awal 80an. Bagaimanapun kerangka yang dibawa oleh Fazlur ini telah dimanfaatkan oleh orang-orang yang berkepentingan agar dapat melahirkan pemikiran yang lebih radikal, liberal, dan berani. Golongan inilah yang diberi nama Islam liberal.
Semangat pembaharuan dan reformasi yang dibawa oleh gerakan modenisme Islam ini sebenaranya mengambil pendekatan ini dari model pembaharuan (modenisasi ) yang berlaku di barat dan yang berjaya mengubah cara hidup dan membuka mata masyarakat tersebut dari berfikiran tertutup dan jumud. Hasilnya modenisme di barat telah berjaya menghasilkan enligtenment serta revolusi industri yang maju dan berkembang. Pendekatan ini yang menjadikan barat sebagai contoh negara maju yang disegani pemimpin dunia.
Setelah modenisme Islam ini menyedari bahawa kemunduran umat Islam serta meneliti faktor-faktor yang membawa kemajuan kepada negara-negara barat, mereka menyimpulkan bahawa umat Islam perlu bersikap terbuka terhadap kemajuan yang di bawa oleh barat bagi umat Islam menguasai sains barat dan seterusnya mengikut pembaharuan yang dibawa oleh barat tersebut.




PENGARUH SEKULARISME TERHADAP  ISLAM LIBERAL
Penyataan yang jelas tentang humanisme sekular yang di bawa barat dapat diperlihatkan bahawa terdapat pemisahan antara agama dan sains, moral dan nilai-nilai kemanusiaan, dan kebebasan individu terhadap Tuhan serta moraliti.
Menurut penulis Muslim yang berasal dari perancis menyatakan bahawa modenisme adalah suatu penolakan terhadap segala yang berbentuk ketuhanan, transenden, dan ghaibiah. Ia adalah suatu penolakan yang didokong oleh humanisme terhadap tradisi dan autoriti demi kepentingan akal dan sains tabii. Menurutnya lagi, ia dicipta atas dasar perkiraan bahawa kuasa seorang individu adalah sumber utama bagi makna dan kebenaran.
Menurut kurzman,seorang pemikir Islam liberal menyatakan bahawa peranan seorang moodenis bukan sahaja hanya mencari persamaan diantara nilai-nilai moden  dengan nilai-nilai ajaran Islam sahaja , malah lebih dari itu. Makannya seorang modenis itu perlu berusha memperkukuhkan dan membangunkan teori tersebut agar dapat membuktikan wujud persamaan antara nilai-nilai moden dan nilai-nilai Islam.
Demikian dapat disimpulkan bahawa pengaruh humanisme berperanan penting dalam kerangka pemikiran modenisme Islam. Leonard Binder, menyatakan mengenai esensi liberalism Islam adalah perbahasan mengenai rasionalisme sebagai tunjang utama bagi golongan Islam liberal. Makna rasionalisme adalah terlalu mengagungkan akal fikiran dan menjadi kayu ukur dalam menilai segala  sesuatu yang menjadi asas dalam sesuatu peradapan.
Setelah di teliti mengenai pandangan-pandangan dan tulisan-tulisan  daripada tokoh liberal tersebut, kita dapat lihat bahawa pemikiran-pemikiran yang dibahaskan  adalah tidak berbeza dari modenis Islam. Contohnya mengenai demokrasi, pembelaan hak wanita, kebebasan bersuara, dan masa depan kemajuan manusia. Sebenarnya isu-isu dalam perbahasan ini adalah mengenai penolakan shariah, pluralisme agama, kebebasan ijtihad, penolakan autoriti agama dan hermeneutika. ( kaedah pentafsiran bible).


Pandangan bahawa perlunya penyesuaian di antara Islam dan nilai-nilai Barat dan diantara wahyu dan kemodenan adalah dengan andaian bahawa kedua-duanya adalah compatible dan boleh diharmonikan. Atas andaian tersebut maka misi untuk menyesuaikan antara kedua-dua nilai bukan perkara yang rumit, persoalannya adakah andaian ini betul, dan apakah tidak ada pertembungan nilai atau prinsip di antara worldview Islam dan worldview barat.?

Syed Muhammad Naquib al-Attas menyatakan bahawa Islam mempunyai pandangan hidup yang jauh berbeza dengan pandangan hidup barat. Yang membezakan pandangan barat dengan pandangan Islam adalah pandangan barat meletakkan falsafah humanisme , rasionalisme, dan sekularissme sebagai asas peradapan mereka. Sedangkan falsafah-falsafah ini amat asing dan tidak perlu ada dalam ajaran Islam.
Ismail al-Faruqi menyatakan bahawa humanisme barat terlalu banyak dipengaruhi oleh humanisme Graeco-Roman yang terlalu mengagungkan akal manusia. Ia juga merupakan reaksi kepada tradisi kristian yang sebenarnya merendahkan nilai-nilai kemanusiaan. Oleh itu, al-Faruqi menyimpulkan bahawa humanisme dalam Islam adalah satu-satunya yang asli dan begitu kuat dalam tamadun barat.
Al-Attas menegaskan bahawa ilmu-ilmu barat perlu terlebih dahulu diIslamisasikan sebelum ianya diterima oleh umat Islam. Ini penting kerana jika tidak di Islamisasikan terlebih dahulu, ianya boleh mengakibatkan dilema  atau krisis minda dan dikotomi dalam diri umat Islam sehingga umat Islam jadi keliru ,lemah dan berpecah belah.
Untuk melihat sejauh mana pengaruh sekularisme dalam pemikiran Islam liberal, kita perlu melihat kepada tema-tema dan aliran pemikiran yang di bawa oleh ideolog-ideolog para gerakan Islam Liberal. Antara pendokong Islam liberal adalah :
Ø  Nasr Hamid Abu Zayd (1943)
Ø  Muhammad Said al-Ashmawi (1932)
Ø  Muhammed Arkoun (1928)
Ø  Abdullah Ahmed al-Nai’im (1946)
Ø  Asghar ‘ Ali Engineer ( 1939)
Fazlur Rahman menyatakan bahawa sekularisme adalah satu alternatif untuk tidak terjebak kepada konnservatisme, ini keran kemunculan sekularisme adalah disebabkan kesan pengaruh konservatisme yang kukuh. Beliau menyatakan bahawa sekularisme moden perlu digabungkan dengan sumber-sumber Islam. Fazlur Rahman mengatakan tindakan membandingkan hukum dengan hukum manusia adalah  satu bentuk sekularisme, kerana menurut pandangan beliau, hukum Allah juga adalah hukum buatan para ulama.

Abu Zayq dengan eksterim menyatakan bahawa Islam adalah agama sekular dan hanya sekularisme menurut beliau yang dapat membawa kemajuan kepada umat Islam serta menyelamatkan mereka dari kejahilan berfikir.
Menurut Muhammad Said Ashmawi, beliau menentang konsep kesyumulan Islam, baginya permasaalahan politik terpisah daripada agama. Beliau juga menolak perlaksanaan shariah Islam dengan menyatakan bahawa memberikan kuasa kepada golongan agama untuk memerintah negara akan mengakibatkan lahirnya negara teokrasi.
Radwan Masmoudi menjelaskan bahawa Islam liberal adalah memperjuangkan pemerintahan yang bertanggungjawab, kebebasan individu dan hak-hak asasi manusia. Menurutnya lagi, golongan ini merupakan golongan majoriti di dunia Islam. Beliau menafikan bahawa golongan Islam liberal adalah golongan majoriti Islam. Malah, beliau menyatakan tokoh yang mendokong Islam liberal tidak dipanggil golongan liberal tetapi layak di panggil golongan modenis.





CIRI KHAS PEMIKIRAN SEKULARISME
·         Dualisme  dan dikotomi
Dualisme merupakan ciri pemikiran sekularisme. Sekularisme mempertentangkan agama dengan sains, wahyu dengan akal, demokrasi dengan teokrasi dan sebagainya. Islam liberal merupakan gerakan yang mereka lakukan adalah satu-satunya alternatif yang menjalankan usaha penyatuan antara agama dan akal fikiran. Mereka melihat majoriti umat Islam mengikuti aliran tradisionalis konservatif yang jumud dan tidak memberi ruang kepada akal fikiran untuk berperanan dan berijtihad.
Akal berfungsi sebagai penterjemah dan memikirkan cara terbaik dalam melaksanakan tuntutan agama. Buktinya , imam-imam mazhab mengenal dan mencipta istilah-istilah seperti qiyas,istihsan ,masalih al-mursalah dan maqasiq al-syariah yang merupakan sumber-sumber perundangan Islam.
Disini juga terdapat kecenderungan Islam liberal dalam melihat agama dan akal sebagai dua entiti yang bebas dan berautonomi penuh. Bagi Islam liberal apabila pertentangan antara teks dan akal berlaku, maka teks al-Quran ini perlu ditafsirkan melalui kaedah hermeneutika, dengan alasan agar tidak terpaku kepada pemahaman literal terhadap syariah. Oleh itu, bagi mereka teks wahyu perlu ditundukkan kepada rasionalisme terlebih dahulu sebelum ianya dapat diterima untuk dilaksanakan.
 Melihat dari metod dan cara berfikir tersebut, maka tidak sedikit daripada mereka yang melihat bahawa nilai-nilai shariah adalah nilai-nilai universal yang juga terdapat dalam tamadun barat, bahkan turut di kongsi barsama oleh mana-mana agama di dunia ini.

KEBEBASAN BERIJTIHAD DAN PENOLAKAN TERHADAP AUTORITI AGAMA

Dalam perspektif Islam liberal, penekanan banyak diberikan kepada kebebasan berpendapat oleh mana-mana individu tentang permasaalahan agama. Pendekatan yang digunakan adalah relativisme, iaitu dengan mengatakan bahawa  kebenaran adalah relatif dan tidak boleh  didakwa oleh mana-mana pihak. Bagi mereka, penolakan terhadap autoriti agama  dianggap penting agar kebebasan berpendapat dan berijtihad dapat dilaksanakan.
Atas dasar kebebasan inilah, Islam liberal banyak merujuk kepada karya-karya terbitan orientalis Kristian, kerana bagi mereka, orientalis merupakan autoriti yang lebih kritis dan dapat mengemukan pendekatan yang lebih rasional serta berlainan.
Golongan Islam liberal berpendapat bahawa autoriti agama hanya akan memberikan kesan negatif iaitu autoritarianisme keagamaan. Menurut mereka lagi golongan ulama akan menopoli kebenaran dan menghukum pandangan selain daripada pandangan mereka sebagai tidak Islamik, sesat dan sebagainya. Kekeliruan ini sebenarnya wujud kerana dari perselisihan faham atau yang disengajakan. Penjelasan yang jelas adalah kewujudan keutamaan ilmu ini tidak mengisyaratkan wujudnya hirarki dalam Islam. Ini kerana didalam Islam, tidak sama sekali meletakkan ulama sebagai wakil Tuhan  sepertimana yang berlaku dalam tradisi Nasrani dan pemerintahan gereja di zaman kegelapan. Dalam Islam, kebenaran mutlak bukan terletak pada ulama, tidak semestinya pandangan ulama itu benar, dan hanya boleh diterima jika berdasarkan al-Quran dan Hadis.
Penolakan terhadap autoriti agama akan memberi ruang yang luas kepada golongan Islam liberal untuk berijtihad dengan bebas, namun bagi Kurzman beliau menggunakan istilah yang agak moden yang tampak canggih iaitu kebebasan berfikir ( freedorm of thought ) dan kebebasan mentafsirkan teks-teks agama (freedorm of religious interpretation). Demikian, dapat dinyatakan disini bahawa golongan Islam liberal melihat perlunya umat Islam mempertimbangkan hermeneutika al-Quran di samping kaedah tafsir yang sedia ada yang dianggap sebagai tidak sesuai digunakan lagi pada zaman ini.








KONSEP  PLURALISME  AGAMA
Pluralisme adalah suatu fahaman kemajmukan atau faham yang berorientasikan kepada kemajmukan yang memiliki pelbagai penerapan yang berbeza dalam aspek agama, moral, hukum,dan politik. Pluralisme agama yang telah diperkenalkan oleh W.C. Smith dengan nama “Universal Theology Of Religion” di barat, kemudian dikembangkan aliran ini oleh John Hicks dan Hans Kung kepada masyarakat dunia sebelum dibawa dan diperkenalkan din dunia Islam.
Perdebatan mengenai pluralisme ini sangat hangat dibincang oleh masyarakat yang menjunjung konsep Islam liberal tersebut. Aliran modenisme dan Islam liberal yang mendukung kuat idea ini dan mempromosikan secara besar-besaran dan meluas, dengan cara menerbitkan buku-buku  yang berkaitan serta menganjurkan seminar.
Diantara penulis buku tersebut adalah  Budy Munawar Rachman dengan bukunya Islam Pluralis, Wacana Kesetaraan Kaum Beriman, dan Alwi Shibab, penulis buku yang bertajuk Islam Inklusif : Menuju Sikap Terbuka Dalam Beragama. Budhy menegaskan bahawa terdapat kewujudan kesatuan peranan yang dibawa oleh semua agama-agama dunia iaitu mengukuhkan kesedaran nilai-nilai asasi kemanusiaan yang kekal. Menurut pandangan beliau lagi, kesatuan peranan ini sangat diperlukan dalam realiti masyarakat yang mengalami kepatuhan dengan nasihat-nasihat agama.
Yang menjadi persoalan adalah mengapa budhy menjadikan Sri Ramakrisna sebagai rujukan dalam beragama  ?, bagi agama Hindu mereka tiada masalah dalam hal kebebasan agama ini, kerana kekeliruan dan ketidakmampuan agama tersebut untuk membatalkan kebenaran agama lain. Selain itu, memang semua agama berusha mendekatkan diri kepada Tuhan namun Islam menekankan bahawa jalan yang ditempuh itu hendaklah jalan yang menuju kebenaran agar ia sampai kepada tujuannya dan tidak sesat. Adapun begitu, penggunaan istilah-istilah sufi sebagai sandaran untuk membenarkan pluralisme agama adalah sama sekali tidak berasas kerana ia digunakan dalam konteks yang berbeza.Dalam penulisan mereka, Budhy dan Alwi Shibab menyatakan bahawa pluralisme agama adalah tuntutan yang paling penting untuk mencapai kerukunan agama.



Disebabkan atas dasar ini, sebagai syarat utama bagi pendokong pluralis maka mereka perlu berusaha untuk tidak bersikap eksklusif dan tidak mendakwa  kebenaran hanya terletak pada agama yang dianutinya. Setelah itu barulah toleransi dan dialog beragama dapat dilaksanakan.
Alwi menafikan bahawa hakikat shariah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah penghapus bagi shariah-shariah yang telah diturunkan sebelumnya. Beliau juga mengatakan al-Quran yang selalu digunakan untuk mendakwa dan menyokong eksklusivisme Islam yang bermaksud :
            “Barangsiapa yang mencari selain daripada Islam sebagai agama ( Din) mereka maka tidak akan diterima (oleh Allah ) daripadanya “
Pengertian daripada ayat di atas adalah Islam tidak hanya diperuntukkanbagi Muslim sahaja, tetapi bagi segenap mereka yang percaya kepada Tuhan sepanjang sejarah umat Islam. Alasan Alwi adalah Islam bermakna berserah diri, maka sesiapa yang melaksanakan tuntutan iman ini dengan menyerahkan diri kepada kehendak Tuhan adalah termasuk kalangan orang yang berserah diri sepertimana dalam konteks ayat tersebut.
Kekeliruan yang timbul, sebenarnya adalah akibat dari pemikiran yang menyatakan bahawa pemikiran mengenai kebenaran tidak bersifat mutlak, tidak boleh dimiliki oleh mana-mana pihak, lalu mengakibatkan penafian hak orang lain membawa kebenaran. Ini kerana pemikiran relativisme inilah yang menjadi dasar utama falsafah pluralisme beragama.
Golongan Liberal menggunakan ayat ini “ waman yabtaghi ghayr al-aslami dinan” adalah untuk menjustifikasikan konsep pluralisme agama, padahal hakikatnya ayat tersebut tidak membenarkan pandangan liberal tersebut. Dengan demikian secara tidak langsung  mereka menolak ayat-ayat lain yang menjelaskan kekufuran orang-orang yang menolak kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. sebenarnya terdapat banyak ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan tentang kesesatan dan kekufuran mereka, namun ayat tersebut tidak diambil kira oleh golongan Liberal.


PENOLAKAN TERHADAP SYARIAH ISLAM

Islam liberal menolak perlaksanaan syariah Islam. Di Indonesia penolakan tersebut dikemukan oleh Jaringan Islam Liberal ( JIL). Di Amerika, pengikut setia tokoh kontroversial  Mahmud Muhammad Taha dari Sudan bernama, Abdullah Ahmed al-Na’im menulis sebuah buku pada tahun 1990 yang bertajuk Towards an Islamic Reformation, yang mana menceritakan tentang merombak pemahaman orang Islam terhadap syariah Islam. Menurut nya syariah Islam itu tidak suci.
Beliau menyarankan lagi agar syariah Islam khususnya dalam perundangan diubah dan dirombak kerana teks agama tidak perlu diikuti secara literal, bahkan beliau mengatakan bahawa perlaksanaan hukum Islam itu sangat bertentangan dengan hak asasi manusia dan tidak sesuai pada zaman ini.
Mereka juga beranggapan bahawa syariah Islam tidak suci disandarkan kepada kajian-kajian orientalis yang menyatakan bahwa formulasi syariah Islam berlaku selama 300 tahun selepas kewafatan baginda Muhammad s.a.w. mereka menyimpulkan bahawa syariah selepas kewafatan Nabi adalah hanya produk ulama dan para pemerintah yang berkuasa pada masa itu.










KESIMPULAN TENTANG ISLAM LIBERAL

Terdapat perbezaan yang ketara diantara teori yang dikemukan oleh Kurzman dengan apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh Islam Liberal. Teori beliau membawa pengertian untuk mempopularkan gerakan ini dan memberi justifikasi kepada setiap idea dan pemikiran Islam Liberal. Hubungan dengan barat seperti sekularisme, orientalisme, dan pascamodernisme terhadap pemikiran Islam Liberal adalah berdasarkan bukti yang nyata dan tidak dapat disangkal lagi.
Oleh yang demikian ada kebenaran ramai penulis Islamik bahawa Islam Liberal sebenarnya merupakan satu produk barat yang dilahirkan sebagai elemen penting dalam gerakan ini. Para pemikir seperti al-Attas telah memberikan penjelasan tentang worldview Islam dan worldview barat dengan tujuan agar umat Islam tidak keliru dan mudah terpengaruh dengan pemikiran barat yang jelas-jelas hanya untuk menyesatkan umat Islam.










BIBLOGRAFI

1.      KHALIF MUAMMAR,  pengantar DATO DR SIDDIQ FADZIL, prakata PROF. DR WAN MOHD NOR WAN DAUD, Akademi Kajian Ketamadunan 2006, Atas Nama Kebenaran, Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal.



No comments:

Post a Comment